Badminton All England: Tze Yong terkandas suku akhir

Badminton All England: Tze Yong terkandas suku akhir

Pemain ranking ke-28 dunia itu mudah ditewaskan pemain China, Li Shi Feng 11-21, 11-21.

Pemain negara Ng Tze Yong beraksi pada kejohanan badminton All England namun tewas di suku akhir. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Perjalanan pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong terhenti pada peringkat suku akhir kejohanan badminton All England awal pagi tadi.

Pemain ranking ke-28 dunia itu, ditunjukkan jalan keluar apabila mudah ditewaskan pemain China, Li Shi Feng 11-21, 11-21 selepas pertarungan selama 41 minit di Utilita Arena, Birmingham.

Keputusan itu menyaksikan Tze Yong masih gagal mendapatkan formula untuk mengatasi pemain China itu, apabila telah tewas dalam kesemua empat pertemuan antara mereka sejak 2017.

Shi Feng, pemain di tangga ke-14 dunia, seterusnya akan bertemu Anders Antonsen dari Denmark, yang menyingkirkan Anthony Sinisuka Ginting dari Indonesia 21-14, 19-21, 21-17.

Tze Yong sebelum ini mencipta kejutan besar apabila menewaskan juara bertahan dan pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen dari Denmark untuk mara ke pusingan suku akhir.

Kini, pemain profesional Lee Zii Jia, yang menewaskan pemain meningkat naik Jepun Kodai Naraoka 21-9, 10-21, 21-13 malam tadi, menjadi wakil tunggal Malaysia pada kejohanan berprestij itu.

Zii Jia yang berada pada kedudukan nombor empat dunia akan berdepan Shi Yu Qi (ranking ke-13) dari China, yang mudah mengalahkan rakan sepasukan Weng Hong Yang 21-9, 21-16.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.