Zon ekonomi mampu tingkatkan proses damai selatan Thailand, kata badan pemikir

Zon ekonomi mampu tingkatkan proses damai selatan Thailand, kata badan pemikir

Pengarah Urusan Iman Research Altaf Deviyati berkata zon sedemikian akan merangsang pertumbuhan dan membuktikan keamanan semakin hampir.

Lebih 7,000 orang terbunuh dalam pertempuran antara tentera Thai dan pemberontak sejak 2004. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Zon ekonomi harus diwujudkan di selatan Thailand kerana ia akan membantu meningkatkan proses keamanan, kata ketua badan pemikir.

Altaf Deviyati berkata, penubuhan zon ekonomi dilindungi bersama Malaysia dan Thailand bukan sahaja akan memacu pertumbuhan ekonomi tetapi membuktikan bahawa “keamanan semakin hampir”.

“Ini menjadi lebih pantas berbanding perjanjian damai itu sendiri,” kata pengarah urusan Iman Research, sebuah badan yang memberi tumpuan kepada pembinaan keamanan dan pembangunan mampan, kepada FMT.

Lebih 7,000 orang telah terbunuh sejak 2004 dalam pertempuran antara tentera dan kumpulan Thai yang menuntut kemerdekaan bagi wilayah majoritinya beragama Islam dan Melayu di Narathiwat, Yala, Pattani dan sebahagian Songkhla yang bersempadan dengan Malaysia.

Altaf berkata, Hatyai dan Songkhla adalah syurga perniagaan tetapi selagi tidak ada keamanan di tiga wilayah berdekatan, ia tidak akan berkesudahan.

Beliau berkata Yala, Narathiwat dan Pattani adalah tiga kawasan termiskin di Thailand dan jurang ekonomi sangat besar.

Terdapat juga populasi belia yang besar di wilayah yang tidak melihat masa depan untuk diri mereka sendiri.

“Ini tidak berkekalan, dendam akan memuncak kepada keganasan. Jadi, jika kita serius untuk berkongsi kemakmuran ekonomi, kita perlu menyatukan semua kawasan sempadan,” katanya.

Altaf berkata, krisis politik di Malaysia, menyaksikan kerajaan bertukar tangan tiga kali dalam tempoh dua tahun, turut menghalang proses damai.

Beliau berkata, perubahan dalam kerajaan biasanya akan menyaksikan pelantikan fasilitator baharu untuk proses damai.

Malangnya, katanya, “semuanya tidak menjadi positif atas beberapa sebab” bagi fasilitator di bawah kerajaan Pakatan Harapan, bekas ketua polis negara Abdul Rahim Noor.

Katanya, apa sahaja niat baik dicapai pada masa lalu telah digantikan dengan ketidakpercayaan.

“Itulah sebabnya fasilitator sekarang mempunyai banyak kerja yang perlu dilakukan untuk membetulkannya,” katanya, merujuk kepada Zulkifli Zainal Abidin, bekas ketua Angkatan Tentera Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.