P Pinang tak larang umat Islam lawat rumah ibadat agama lain

P Pinang tak larang umat Islam lawat rumah ibadat agama lain

Tetapi individu atau NGO tidak terlibat kerja sosial serta perpaduan tidak digalak mengadakan program sedemikian.

Timbalan Ketua Menteri 1, Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, Pulau Pinang tidak mengikut jejak pihak berkuasa agama Selangor, sebaliknya mengambil pendekatan mengikut enakmen dan akta sedia ada. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tiada larangan untuk mana-mana pihak menganjurkan program dan mengajak umat Islam melawat rumah ibadat bukan Islam di Pulau Pinang bagi memahami agama lain.

Timbalan Ketua Menteri 1, Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, berkata Pulau Pinang tidak mengikut jejak pihak berkuasa agama Selangor, sebaliknya mengambil pendekatan mengikut enakmen dan akta sedia ada.

“Jadi, kita melarang pelanggaran mana-mana perkara dalam akta atau enakmen kita tentang penyebaran agama bukan Islam kepada Islam.

“Namun, untuk perpaduan antara masyarakat, sekiranya ada pihak yang ingin membawa atau menyediakan atau mengajak umat Islam melawat rumah ibadat bukan Islam untuk tujuan tertentu, ia dibenarkan misalnya untuk memahami ibadat orang bukan Islam, tetapi bukan untuk tujuan lain,” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau mengulas sama ada Pulau Pinang akan mengikut langkah Selangor melarang penganjuran sebarang program melibatkan umat Islam di rumah ibadat agama lain di negeri itu.

Zakiyuddin berkata, penganjur program perlu merujuk Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang sebelum menganjurkan program terbabit dan ia perlu dilakukan dalam keadaan terkawal.

Tetapi, katanya, individu atau badan bukan kerajaan (NGO) yang tidak terlibat dengan kerja sosial serta perpaduan tidak digalak mengadakan program sedemikian.

“Penganjur perlu rujuk MAINPP dahulu dan melihat semua garis panduan, termasuk perkara yang boleh serta tidak boleh dilakukan pada program terbabit.

“Saya pasti perkara ini telah ada permohonan dan panduan diberikan pejabat mufti sebelum ini dan ia boleh dirujuk semula.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.