P Pinang kaji kitar semula air kumbahan

P Pinang kaji kitar semula air kumbahan

Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang berkata, air kumbahan dikitar semula itu untuk kegunaan industri.

Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang menandatangani MoU dengan Indah Water Konsortium untuk meneroka daya maju projek kitar semula air kumbahan terawat semalam. (Gambar Facebook)
GEORGE TOWN:
Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) akan bekerjasama dengan Indah Water Konsortium (IWK) untuk mengkaji aspek daya maju projek kitar semula air kumbahan untuk kegunaan semula industri di negeri itu.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP dan PBA Holdings Bhd, K Pathmanathan berkata, kerjasama itu sebahagian daripada rancangan untuk memastikan sekuriti bekalan air di Pulau Pinang menjelang 2030.

“PBAPP menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan IWK semalam bagi memeterai kerjasama untuk meneroka daya maju projek kitar semula air kumbahan terawat dari tiga loji rawatan kumbahan (STP) IWK sedia ada di Pulau Pinang yang kini dilepaskan ke laut.

“Kami membincangkan kemungkinan mengitar semula air untuk kegunaan semula industri dengan IWK pada April tahun lepas dan sejak itu, kami mengenal pasti tiga STP yang terletak di Bayan Baru dan George Town di bahagian pulau dan Mak Mandin (tanah besar) untuk kajian mendalam,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, potensi hasil daripada kitar semula air tiga STP IWK itu boleh menyamai 2.3 pengeluaran rawatan air modul rawatan air konvensional di Sungai Dua.

Katanya, tiga STP yang dikenal pasti itu dipilih berdasarkan tiga kriteria utama, iaitu lokasi strategik, berpotensi hasil isi padu pengeluaran air kitar semula dan jarak relatif dengan bakal pengguna kategori bukan domestik.

Beliau berkata, cabaran terbesar Pulau Pinang sekarang ialah kekurangan sumber air mentah kerana negeri itu mempunyai keluasan tanah terhad 1,049km persegi.

“Jika kami dapat mengitar semula 260 juta liter sehari (JLH) air kumbahan terawat untuk kegunaan semula industri, kami akan meningkatkan kapasiti bekalan air maksimum PBAPP di Pulau Pinang sebanyak 260 JLH.”

Beliau berkata, cadangan kitar semula air itu mencerminkan komitmen PBAPP untuk merancang lebih awal demi kebaikan negeri dan rakyatnya. Jika berdaya maju, projek itu akan menyokong pencapaian visi Penang2030 di samping mengurangkan risiko kekurangan air ketika musim kemarau berpanjangan.

Menurutnya, PBAPP dan IWK akan mengesahkan daya maju projek kitar semula air yang dicadangkan di Pulau Pinang dari sudut teknologi kitar semula air yang boleh digunakan, keperluan kejuruteraan air teknikal untuk membina dan mengendalikan modul kitar semula air bersebelahan atau berhampiran STP IWK sedia ada.

“Selain itu, potensi kualiti air kitar semula, kerja pemasangan paip dan pam khusus berasingan untuk membolehkan bekalan air kitar semula kepada pengguna industri serta kos keseluruhan untuk mengitar semula air kumbahan dan membekalkan air kitar semula.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.