Negeri mundur, tapi beli Mercedes dan naik elaun wakil rakyat, Ibrahim bidas PAS Kelantan

Negeri mundur, tapi beli Mercedes dan naik elaun wakil rakyat, Ibrahim bidas PAS Kelantan

Ibrahim Ali turut membidas Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa masalah air di negeri Pantai Timur itu boleh diselesaikan jika parti pimpinannya memerintah.

Ibrahim Ali berkata sekalipun Kelantan mendapat royalti minyak, belum tentu ia digunakan sebaik mungkin untuk kepentingan rakyat.
PETALING JAYA:
Presiden Putra Ibrahim Ali membidas PAS dengan menyifatkannya tidak kreatif dalam membangunkan Kelantan yang dikurniakan pelbagai hasil bumi dan budaya.

Bekas Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, Kelantan dikurniakan hasil bumi seperti galian dan kayu-kayan ditambah tanah subur selain modal insan mahir serta rajin, persekitaran dan kebudayaan yang boleh diteroka.

“Tetapi negeri mundur. Ada duit, pandai beli Mercedes dan naik elaun wakil rakyat.

“Jika dapat royalti minyak pun, belum tentu akan diguna sebaik mungkin untuk kepentingan rakyat,” katanya berucap merasmikan persidangan Putra Pasir Mas.

Ibrahim turut membidas Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa masalah air di negeri Pantai Timur itu boleh diselesaikan jika parti pimpinannya memerintah.

Katanya, Umno dan Barisan Nasional (BN) harus sedar zaman mempersendakan rakyat sudah tamat, mengambil kira pelbagai janjinya sebelum ini yang belum ditunaikan.

“Tidak payah berjanji mengenai isu air, tunaikan isu royalti minyak kepunyaan dan hak rakyat dan kerajaan Kelantan.

“Mampukah TPM (timbalan perdana menteri) Zahid menasihati PM (perdana menteri) Anwar (Ibrahim) supaya melunaskan royalti minyak mengikut perjanjian,” katanya.

Pada persidangan itu, Ibrahim turut mengumumkan dirinya sebagai ketua Putra Pasir Mas yang membolehkannya kembali berkhidmat di kawasan pernah diwakilinya ketika bersama Umno pada 1992 hingga 2003.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.