Manoj Kurup ketuai bahagian pendakwaan Jabatan Peguam Negara

Manoj Kurup ketuai bahagian pendakwaan Jabatan Peguam Negara

Dusuki Mokhtar, timbalan Manoj, dinaikkan pangkat untuk mengetuai bahagian perbicaraan dan rayuan.

Manoj Kurup (kiri) akan mengetuai bahagian pendakwaan, manakala Dusuki Mokhtar mengetuai bahagian perbicaraan dan rayuan mulai 3 April.
PETALING JAYA:
Ketua bahagian perbicaraan dan rayuan Jabatan Peguam Negara Manoj Kurup dilantik mengetuai bahagian pendakwaannya.

Beliau menggantikan Nik Suhaimi Nik Sulaiman, yang bersara bulan lepas.

Dusuki Mokhtar, timbalan Manoj, dinaikkan pangkat untuk mengetuai bahagian perbicaraan dan rayuan.

Menurut pekeliling mengenai pelantikan mereka semalam yang ditandatangani oleh Peguam Negara Idrus Harun, pelantikan tersebut berkuat kuasa pada 3 April.

Kurup, 59, mengetuai bahagian pendakwaan sementara ketika Tommy Thomas menjadi peguam negara.

Pada Rabu, FMT melaporkan bahawa timbalan pendakwa raya dan pengamal guaman jenayah ternanti-nanti siapa yang akan dilantik oleh Idrus untuk mengetuai bahagian pendakwaan.

Sumber memberitahu FMT, timbalan ketua bahagian sekarang, Masri Daud, mendahului pencalonan, manakala ketua unit litigasi khas Raja Rozela Raja Toran turut menjadi pesaing.

Bagaimanapun, katanya, calon daripada bahagian lain di Jabatan Peguam Negara dengan kedudukan sama dan yang telah menjalankan kerja guaman jenayah tidak boleh diketepikan.

Bahagian pendakwaan berurusan secara meluas dengan orang awam dan agensi penguatkuasaan undang-undang utama.

Bahagian tersebut menjalankan kuasa peguam negara sebagai pendakwa raya. Timbalan pendakwa raya daripada bahagian itu menjalankan pendakwaan di semua mahkamah di seluruh negara, termasuk dalam kes jenayah berprofil tinggi.

Selain itu, bahagian itu memberikan nasihat dan arahan kepada semua agensi penguatkuasaan berhubung siasatan dan pendakwaan jenayah.

Timbalan pendakwa rayanya juga mengendalikan kertas siasatan untuk menentukan sama ada akan memulakan pendakwaan, dan menangani representasi daripada peguam yang meminta tuduhan terhadap anak guam mereka digugur atau dikurangkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.