KPT usahakan garis panduan ChatGPT

KPT usahakan garis panduan ChatGPT

Menteri Pendidikan Tinggi Khaled Nordin berkata, teknologi dipacu kecerdasan buatan itu akan membawa manfaat jika digunakan sebagai alat dalam proses pembelajaran.

Pelancaran ChatGPT pada November lepas disambut dengan keterujaan namun penuh kebimbangan oleh ahli akademik Malaysia. (Gambar Unsplash)
PETALING JAYA:
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang mengusahakan garis panduan berhubung penggunaan ChatGPT yang dipacu kecerdasan buatan (AI), kata menterinya, Khaled Nordin.

Khaled berkata, ChatGPT dan teknologi AI lain akan membawa manfaat jika digunakan sebagai alat dalam proses pembelajaran.

“Kami tidak mengawal selia (ChatGPT), tetapi kami sedang berusaha menyediakan garis panduan tentang perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan apabila menggunakan alat ini.

“Ia tidak boleh dilihat sebagai alat yang menjadi penyelesaian. Jika kita berbuat sebegitu, maka proses pembelajaran akan diambil alih oleh mesin,” katanya kepada FMT.

Ditanya sama ada beliau tahu sejauh mana ChatGPT digunakan di institusi pengajian tinggi tempatan, Khaled berkata, beliau perlu menyemak perkara itu.

Pada Januari, Khaled mencadangkan kertas putih mengenai “A New Horizon for Science, Technology and Innovation – A Strategy for Malaysia” sebagai persediaan kementerian bagi mengurus perubahan dalam pengajaran dan pembelajaran.

Dalam laporan Bernama, beliau berkata, kertas putih itu bertujuan mengurus gangguan teknologi semasa dan masa depan terhadap pengajaran dan pembelajaran serta tadbir urus institusi pengajian tinggi.

Mampu menghasilkan esei peringkat kolej dalam beberapa saat, pelancaran ChatGPT pada November lepas disambut dengan keterujaan, namun penuh kebimbangan oleh ahli akademik Malaysia.

Jawapannya yang tepat dan teliti hampir tidak dapat dibezakan daripada teks tulisan manusia, yang membawa kepada kebimbangan ia boleh digunakan untuk plagiarisme dan penipuan.

Dalam kenyataan baru-baru ini, Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak) berkata, terdapat “keperluan mendesak” untuk pasukan petugas peringkat tinggi atau jawatankuasa pakar pendidikan dan teknologi untuk membangunkan dasar dan garis panduan merentas sektor bagi memenuhi potensi dan cabarannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.