Tambang MRT Putrajaya percuma hingga hujung bulan

Tambang MRT Putrajaya percuma hingga hujung bulan

Laluan MRT Putrajaya akan dibuka sepenuhnya pada 3 petang hari ini.

Laluan Putrajaya ialah laluan MRT kedua negara.
SERI KEMBANGAN:
Tambang bagi MRT laluan Putrajaya, yang baru dilancarkan, percuma untuk semua penumpang sehingga 31 Mac.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, ini sempena pelancaran laluan MRT Putrajaya yang akan dibuka sepenuhnya pada 3 petang hari ini.

Perkhidmatan bas pengantara bagi laluan baharu MRT itu juga percuma.

Laluan MRT Putrajaya, yang dibangunkan dalam dua fasa, memberikan perkhidmatan dari Kwasa Damansara melalui pusat bandar Kuala Lumpur hingga ke Putrajaya.

Terdapat 36 stesen di sepanjang laluan tersebut, sembilan daripadanya bawah tanah. Laluan tersebut dijangka memberikan perkhidmatan bagi kira-kira 104,000 penumpang sehari.

Projek laluan MRT kedua negara itu dimulakan oleh bekas perdana menteri Najib Razak, tetapi tertangguh apabila Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan pada 2018. Projek dimulakan semula apabila Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri.

Pengangkutan jadi keutamaan dalam belanjawan seterusnya, kata PM

Anwar berkata, pengangkutan awam akan diberi keutamaan dalam belanjawan tahunan persekutuan akan datang, sambil menambah, Bajet 2023 lebih memfokuskan kepada pendidikan dan kesihatan.

“Saya bukan kata kementerian lain tidak penting, tetapi saya mahu sekolah dan kesihatan diutamakan (dalam belanjawan persekutuan tahun ini) kerana ia membabitkan semua orang.

“Tahun depan, (keutamaan) diberikan kepada pengangkutan, kerana produktiviti rakyat terjejas akibat kesesakan lalu lintas,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.