
Terdahulu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu mengeluarkan waran tangkap terhadap Adun Bukit Payong itu selepas tidak hadir ke mahkamah hari ini.
Mohd Nor berkata, kelewatan peguam pempetisyen, Muhammad Amin Othman memberi makluman kepadanya untuk datang ke mahkamah antara sebab beliau tidak hadir, lapor Harian Metro.
“Peguam BN (Barisan Nasional) suruh pergi mahkamah pagi (hari ini), saya kata lewat sangat beritahu, sedangkan saya ada banyak program sebelah pagi…sebelah petang boleh (lapang).
“Mungkin dia takut saya lari, jadi keluar waran tangkap jika tidak hadir pada perbicaraan 19 Mac ini,” katanya.
Menurutnya, beliau hadir ke mahkamah pada petang Selasa lalu dan berjanji dengan peguam BN untuk hadir Ahad ini pada 10 pagi.
Mohd Nor juga memberi jaminan akan memberi kerjasama sepenuhnya selepas disapina untuk menjadi saksi bagi perbicaraan petisyen itu yang berlangsung hingga 21 Mac.
Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 12 Feb lalu menolak bantahan awal dikemukakan Presiden PAS Abdul Hadi Awang untuk membatalkan petisyen keputusan PRU15 bagi Parlimen Marang yang difailkan calon BN.
Mahkamah kemudian menetapkan 6 hingga 21 Mac sebagai tarikh perbicaraan penuh bagi petisyen itu.
Pada 3 Jan lalu, Umno Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi Parlimen Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman.
Petisyen membabitkan tiga Parlimen itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Ketua Umno Terengganu, Ahmad Said, berkata petisyen itu difailkan antara lain atas dakwaan PAS menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 Nov 2022, beberapa hari sebelum PRU15 melalui program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa.