Buat laporan polis jika bukan kamu hubungi saya, Wee beritahu Deepak

Buat laporan polis jika bukan kamu hubungi saya, Wee beritahu Deepak

Ahli Parlimen Ayer Hitam Wee Ka Siong berkata, beliau sedia untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam sebarang siasatan berhubung perkara itu.

Ahli Parlimen Ayer Hitam Wee Ka Siong (kiri) berkata ahli perniagaan Deepak Jaikishan perlu membuat laporan polis jika seseorang menyamar menjadi dirinya.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Ayer Hitam Wee Ka Siong meminta Deepak Jaikishan membuat laporan polis selepas ahli perniagaan itu menafikan menghubungi Wee semalam.

Presiden MCA itu berkata, beliau bersedia untuk bekerjasama dengan polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan penyedia telekomunikasi dalam sebarang siasatan berhubung perkara itu.

“Jika Deepak Jaikishan rasa seseorang menyamar menjadi dirinya untuk menelefon saya, beliau patut buat laporan polis,” kata Wee.

Wee memberitahu Dewan Rakyat semalam bahawa beliau menerima panggilan telefon daripada individu bernama “Deepak” menuntut beliau menjelaskan kenyataan awal yang dibuatnya berhubung pengimportan telur dari India.

Wee mendakwa, penjelasan itu diperlukan bagi mengelak saman yang akan dikemukakan terhadapnya.

Pada sidang media pagi tadi, Wee mendedahkan bahawa panggilan telefon itu diterima daripada nombor telefon bimbit 019-99****9.

“Apabila saya menyemak dengan aplikasi Truecaller, nombor itu didapati milik seseorang bernama Deepak J Tekwani,” tambahnya.

Wee berkata, beliau bercakap dengan pemanggil itu dua kali, dengan panggilan pertama berlangsung selama 33 saat dan panggilan kedua selama tujuh minit.

Wee, yang berulang kali mengetengahkan isu berkaitan telur yang diimport dari India, turut memberitahu Parlimen semalam bahawa pemanggil itu mendakwa dirinya wakil J&E Advance Tech Sdn Bhd, pengimport tunggal telur dari India.

Sementara itu, Deepak, ahli perniagaan yang sebelum ini dikaitkan dengan syarikat itu oleh Ketua Penerangan Perikatan Nasional Azmin Ali, semalam menafikan menelefon Wee.

Syarikat itu kemudiannya menafikan kaitannya dengan Deepak dan mengancam untuk menyaman bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.