Benarkan Rohingya bekerja di Malaysia, kerajaan digesa

Benarkan Rohingya bekerja di Malaysia, kerajaan digesa

Aktivis Adrian Pereira dan Adun Noor Helmy berkata, pelarian tidak perlu menjalankan perniagaan haram jika mereka dibenarkan mencari pekerjaan.

Sebahagian daripada ribuan pelarian Rohingya di Malaysia. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kejadian baru-baru ini menunjukkan permusuhan terhadap pelarian Rohingya mendorong seorang aktivis dan Adun menggesa kerajaan membenarkan mereka bekerja untuk menyara hidup.

Aktivis hak asasi migran Adrian Pereira dan Adun Melaka Noor Helmy Abdul Halem memberitahu FMT, mereka percaya pelarian tidak akan menjalankan perniagaan haram jika mereka dibenarkan mencari pekerjaan yang menguntungkan.

Sebagai pelarian, golongan Rohingya tidak dibenarkan bekerja, tidak mempunyai akses kepada perkhidmatan kerajaan seperti penjagaan kesihatan dan pendidikan, dan tidak boleh memiliki harta mahupun membuka akaun bank.

Pereira berkata, permusuhan terhadap Rohingya tersasar, berpunca daripada tanggapan bahawa mereka menyebabkan ekonomi rakyat Malaysia terjejas.

“Mereka sudah berada di sini, menjalankan perniagaan untuk terus hidup,” katanya.

“Rakyat Malaysia harus lebih memahami kerana Rohingya tidak akan membolot bahagian ekonomi mereka.

“Untuk terus hidup, komuniti ini terpaksa menceburi bidang keusahawanan dengan pantas. Itu tiada kena mengena dengan rakyat Malaysia kerana produk dan perkhidmatan mereka memenuhi keperluan komuniti mereka sendiri.

“Hakikatnya, terdapat sumber yang mencukupi untuk dikongsi oleh semua orang.”

Noor Helmy, ahli Umno dan juga Adun Duyong, berkata Rohingya perlu bekerja, “tetapi mengikut peraturan kita”.

“Undang-undang sedia ada tidak membenarkan mereka bekerja atau menjalankan perniagaan, tetapi jika mereka tidak boleh melakukan kedua-duanya, bagaimana mereka nak hidup?”

Beliau berkata, Rohingya perlu diwajibkan berdaftar dengan pihak berkuasa Malaysia dan bukan semata-mata dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

“Ini supaya kita mempunyai rekod mereka dan bukan sahaja boleh mengambil tindakan tetapi mengawal mereka secara sah.

“Pada masa ini, kita tidak tahu sama ada mereka bertukar kad pelarian sesama mereka kerana kita kekurangan data.”

Noor Helmy dan Pereira mengulas mengenai video di media sosial menunjukkan trend semakin lazim dalam kalangan penduduk tempatan berhadapan dengan Rohingya, selalunya dengan cara bermusuhan.

Baru-baru ini, Pereira menegur Ahli Parlimen Klang V Ganabatirau, menggelarnya sebagai rasis dan membenci orang asing kerana menggesa Kementerian Dalam Negeri mengambil tindakan terhadap peniaga Rohingya yang mengendalikan gerai di pasar Meru di Klang.

Ganabatirau, yang juga ahli DAP, menolak tuduhan itu dengan berkata beliau hanya menceritakan kebimbangan pengundinya apabila membangkitkan perkara itu di Dewan Rakyat.

Pendahulunya, Charles Santiago berkata, perlu ada ruang untuk Rohingya mencari rezeki walaupun keutamaan harus diberikan kepada rakyat Malaysia.

“Mereka tidak mempunyai sokongan apabila datang ke Malaysia,” katanya.

“Mereka tinggalkan segala-galanya. Ini benar-benar persoalan tentang memahami bahawa mereka adalah pelarian dan oleh itu, mata pencarian mereka tidak harus diambil daripada mereka.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.