Beli pesawat tempur Korea, tak mahu anggota jadi makmal percubaan, kata Tok Mat

Beli pesawat tempur Korea, tak mahu anggota jadi makmal percubaan, kata Tok Mat

Menteri pertahanan berkata pertimbangan membeli 18 pesawat tempur ringan FA-50 dari Korea kerana terbukti mempunyai rekod perkhidmatan baik.

Mohamad Hasan berkata pembelian pesawat tempur Korea dibuat itu melalui penilaian ketat.
KUALA LUMPUR:
Menteri Pertahanan Mohamad Hasan berkata, pertimbangan kerajaan membeli 18 pesawat tempur ringan FA-50 dari Korea Selatan kerana kapal tersebut telah dibuktikan mempunyai rekod perkhidmatan yang baik.

Beliau berkata, pada masa sama, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak mahu lagi menjadikan anggota mereka sebagai makmal percubaan.

“Kita nak guna aset ternyata mempunyai kemampuan dan ‘service’ rekod yang baik.

“Kelebihan dia (pesawat tempur ringan) dah diguna pakai negara jiran seperti Thailand, Indonesia dan Filipina. Rekod perkhidmatan amat baik dan menggunakan enjin dari Amerika Syarikat (AS),” katanya ketika menjawab pertanyaan Hassan Karim (PH-Pasir Gudang).

Pada 24 Feb lalu, Bernama melaporkan Korea Aerospace Industries Co (KAI) merupakan pengeluar tunggal pesawat Korea memenangi perjanjian pesawat bernilai USD920 juta (RM4.08 bilion) dari Malaysia dan proses penghantaran pesawat berkenaan dijangka bermula, pada 2026.

Memetik kenyataan Agensi berita Yonhap, KAI memeterai perjanjian dengan Kementerian Pertahanan untuk mengeksport 18 pesawat tempur ringan FA-50, sekali gus mengetepikan pesawat jenis Tejas India, JF-17 Pakistan, MIG-35 Rusia dan Hurizet Turki.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari kemudian pada 26 Feb lalu menjelaskan pembelian pesawat itu mengambil kira pelbagai faktor, termasuk keperluan negara melibatkan aspek strategi, dasar dan Kertas Putih Pertahanan (KPP).

Dalam pada itu, Mohamad atau dikenali sebagai Tok Mat berkata pembelian pesawat itu melalui penilaian yang ketat.

Katanya lagi, pesawat dari Korea itu juga tidak mempunyai sebarang rekod yang tercemar.

“Tidak ada satu insiden atau rekod yang mencemarkan. Memang model yang baik. Pesawat juga ringan dan laju yang boleh diguna pakai ikut keperluan semasa negara.

“Atas asas itu jawatankuasa penilaian yang berlapis-berlapis memutuskan guna pakai ini dan (atas) sebab dipercayai boleh diurus dengan baik,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.