Ahli Parlimen DAP diperintah bayar ganti rugi RM2 juta kepada pengasas syarikat

Ahli Parlimen DAP diperintah bayar ganti rugi RM2 juta kepada pengasas syarikat

Mahkamah Tinggi KL mendapati Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng bertanggungjawab atas fitnah.

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng didapati bertanggungjawab ke atas fitnah terhadap seorang pengasas syarikat pada 2017.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan Lim Lip Eng membayar ganti rugi RM2 juta kepada seorang pengasas firma e-dagang selepas didapati Ahli Parlimen Kepong itu bertanggungjawab atas fitnah.

Hakim Akhtar Tahir membenarkan tuntutan Jessy Lai terhadap Lim berhubung kenyataan yang dibuatnya terhadap Lai dan syarikatnya pada 2017.

Peguam Guok Ngek Seong, yang mewakili Lim berkata, keputusan itu dibuat semasa prosiding dalam talian pagi ini.

Katanya, mahkamah mendapati Lim melangkaui tugasnya sebagai ahli Parlimen apabila membuat tuduhan mengenai Lai dan syarikatnya, MonSpace (M) Sdn Bhd.

Lim diperintahkan membayar ganti rugi am sebanyak RM500,000 kepada Lai dan RM1 juta kepada syarikatnya, MonSpace.

Dia juga diperintahkan membayar RM500,000 lagi kepada mereka sebagai ganti rugi teruk.

Selain itu, Lim diarah mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka kepada Lai dan Monspace dalam tempoh seminggu dari hari ini.

Kuantum ganti rugi itu dipercayai paling tinggi terbabit dalam kes fitnah sejak 20 tahun lepas.

Guok berkata, Lim akan merayu keputusan itu dan memohon untuk menangguhkan pelaksanaan penghakiman.

Dalam tuntutan mahkamahnya, Lai menuduh Lim mencemarkan nama baik dirinya dan syarikatnya dengan menuduh mereka menjalankan perniagaan haram dan menipu pelabur China.

Beliau berkata, kenyataan ahli Parlimen itu, yang diterbitkan oleh media Inggeris dan Cina, membayangkan beliau seorang yang tidak jujur.

Lai berkata, Lim membuat kenyataan itu pada Mei 2017 dan November 2018 apabila dia membawa sekumpulan individu dikatakan pelabur MonSpace ke pejabatnya. Mereka kemudiannya membuat laporan polis terhadap Lai.

Lai mendakwa kenyataan Lim menimbulkan tekanan daripada pihak berkuasa, termasuk polis, Bank Negara Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, untuk mengambil tindakan terhadapnya.

“Tindakannya menyebabkan saya didakwa di mahkamah pada 8 Mei mengikut Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.