Pemilik sewa rumah jangka pendek P Pinang beri amaran kesan buruk

Pemilik sewa rumah jangka pendek P Pinang beri amaran kesan buruk

Kerajaan negeri digesa mempertimbangkan semula penguatkuasaan peraturan STR baharu.

Pemilik pangsapuri yang ingin menyewakan unit mereka untuk penginapan jangka pendek kini perlu mendapatkan kelulusan jiran mereka.
GEORGE TOWN:
Pemilik hartanah di Pulau Pinang yang menyediakan penginapan sewa jangka pendek (STR) menghadapi dilema.

Had yang akan dikuatkuasakan ke atas STR tidak lama lagi boleh menyebabkan kebanyakan mereka gagal membayar pinjaman perumahan mereka dan akhirnya kehilangan harta benda mereka. Bank juga boleh menerima kesan jika hartanah ini perlu dilelong.

Di bawah peraturan baharu itu, penginapan berkenaan tidak akan dibenarkan di bangunan pangsapuri melainkan 75% atau lebih pemilik bersetuju dengannya.

Jika pemilik hartanah berjaya mendapatkan kebenaran jiran mereka, mereka hanya dibenarkan menyewakan unit mereka untuk maksimum tiga hari seminggu.

Sekiranya melanggar peraturan, ia akan mengundang denda RM200.

Walaupun tiada angka rasmi, sumber industri berkata seorang pengendali STR boleh menjana sekitar RM1,500 hingga RM2,000 sebulan bagi setiap pangsapuri.

Selain daripada jiran yang mengadu mengenai kehadiran orang asing yang berterusan, bunyi bising serta gangguan yang ditimbulkan, pengusaha hotel juga mengalu-alukan langkah itu.

Salah seorang pengendali STR, Michael Goh menyifatkan had yang ditetapkan itu sukar diterima.

“Selain menyebabkan pendapatan operator berkurangan, ia juga menyumbang kepada masalah lain,” katanya.

Beliau mendakwa ia akan mendedahkan terhadap penyalahgunaan oleh badan pengurusan bangunan yang ditugaskan untuk memantau unit STR.

Selain itu katanya, ia juga bermasalah untuk mendapatkan kebenaran penghuni atau pemilik.

Sebagai contoh katanya, hanya 10 daripada 300 unit di bangunan pangsapuri itu didiami pemilik manakala yang lain menetap di luar negara.

Sementara itu, Steven Chuah, yang menguruskan 100 hartanah STR di pelbagai platform, berkata Pulau Pinang harus memimpin dalam mengawal selia industri untuk memberi situasi menang-menang.

“STR adalah sebahagian daripada ekonomi tempatan. Kita sokong perniagaan tempatan. Orang ramai tinggal di sini, membeli barangan di kedai berhampiran dan menggunakan pengangkutan e-panggilan. Ia memberi kesan positif,” katanya.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri Jagdeep Singh Deo berkata had itu diperlukan.

“Ia bukan berniat untuk mengharamkan STR tetapi untuk memastikan ia diuruskan dengan bertanggungjawab dan mampan,” katanya kepada FMT Business.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.