Notis merah terhadap Jho Low masih berkuatkuasa, kata menteri

Notis merah terhadap Jho Low masih berkuatkuasa, kata menteri

Saifuddin Nasution Ismail berkata tiada satu pun daripada 195 negara anggota Interpol yang dapat mengesahkan keberadaan Low dan lima lagi yang dikaitkan dengan skandal 1MDB.

Jho Low telah didakwa di Malaysia dan AS atas dakwaan mendalangi penyelewengan ASD4.5 bilion daripada 1MDB. (Gambar Bloomberg)
PETALING JAYA:
Notis merah dikeluarkan Interpol terhadap ahli perniagaan buruan Loe Taek Jho atau Jho Low dan lima lagi yang dikaitkan dengan skandal 1MDB masih aktif dan berkuatkuasa sehingga hari ini, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Bagaimanapun, beliau berkata tiada satu pun daripada 195 negara anggota Interpol yang dapat mengesahkan keberadaan Low, Terence Geh, Casey Tang, Jasmine Loo, Nik Faisal Ariff Kamil dan Eric Tan.

“Sehingga ke hari ini, polis Malaysia masih menjalinkan kerjasama dengan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Amerika Syarikat, pihak berkuasa
Singapura dan agensi penguatkuasaan negara lain yang turut menjalankan siasatan ke atas dana milik 1MDB,” katanya dalam jawapan dimuatnaik di laman sesawang Parlimen.

Saifuddin berkata pertuduhan telah difailkan secara absentia di mahkamah terhadap Low, Geh, Tang, Loo dan Tan di Mahkamah Majistret Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Sementara itu katanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menyiasat Nik Faisal berhubung SRC International Sdn Bhd.

Notis Merah Interpol untuk Low pertama kali diluluskan dan dikeluarkan pada 2018.

Low, yang telah didakwa di Malaysia dan AS atas dakwaan mendalangi penyelewengan ASD4.5 bilion daripada 1MDB, dipercayai berada di Macau, walaupun Beijing menafikan melindungi ahli perniagaan buruan itu.

Bradley Hope, pengarang bersama buku mengenai skandal 1MDB, telah melancarkan pencarian baharu terhadap Low susulan pemenjaraan bekas perdana menteri Najib Razak selepas kalah dalam rayuan SRC International di Mahkamah Persekutuan Ogos lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.