
Dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen, KPM memaklumkan sedang menyemak semula sukatan mata pelajaran Tingkatan 6 supaya seiring perkembangan semasa bagi memenuhi keperluan negara.
Selain itu, sukatan disemak supaya selaras dengan A-Level yang dikelolakan Cambridge Assessment International Education (CAIE), United Kingdom kerana sijil STPM diiktiraf setaraf dari segi standard dengan A-Level kelolaan CAIE itu sejak 1982.
Menurut kementerian itu semakan sukatan mata pelajaran berkenaan dijangka selesai pada 2025.
“Buat masa ini, beberapa siri bengkel penyemakan sukatan pelajaran peperiksaan STPM serta sesi libat urus sedang giat dilaksanakan,” menurut KPM bagi menjawab soalan Zakri Hassan (PN-Kangar) mengenai bilakah kerajaan akan mengubah sukatan pelajaran Tingkatan 6 kerana ia sudah lama tidak disemak dan kurang relevan dengan keperluan masa kini.
KPM memaklumkan fokus penyemakan merangkumi kerelevanan sukatan pelajaran peperiksaan dari aspek matlamat, objektif, tajuk yang perlu diajar/belajar, waktu pengajaran bagi setiap tajuk, hasil pembelajaran yang sepatutnya dicapai calon dan skim pentaksiran pada setiap penggal.
KPM turut mengambil kira ulasan dan maklum balas diberikan pihak berkepentingan termasuk guru yang mengajar Tingkatan 6, calon yang telah menduduki peperiksaan STPM dan pensyarah universiti dalam sesi libat urus.