
Kementerian itu dalam kenyataan ringkas berkata, Fahmi tidak pernah mengeluarkan kenyataan berhubung garis panduan Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal).
“Garis panduan Puspal (semakan terbaharu) bertarikh 31 Dis 2022 di laman web KKD bertujuan memudahkan dan melonggarkan syarat bagi pihak berkaitan berurusan dalam melakukan penggambaran filem asing serta persembahan artis luar negara,” katanya dalam kenyataan.
Garis panduan itu dirangka Puspal.
Terdahulu, The Star melaporkan, di bawah garis panduan baharu itu, artis luar negara tidak lagi dibenar mengadakan konsert besar serta persembahan langsung sehari sebelum dan pada hari cuti umum Islam mulai 2024.
Ia meliputi keseluruhan bulan Ramadan, Awal Muharram, Maulidur Rasul, Israk Mikraj, Nisfu Sya’ban, Nuzul Al-Quran, Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.
Artis lelaki dari luar negara juga dilarang berpakaian seperti perempuan semasa membuat persembahan.
Akhbar itu turut memetik Fahmi sebagai berkata, semua pihak berkepentingan dan komuniti sudah dirujuk berhubung garis panduan baharu itu yang akan berkuat kuasa mulai 2024.
Katanya, libat urus dengan pihak berkepentingan akan diteruskan dan garis panduan itu akan dikemas kini kali kedua sebelum dilaksanakan tahun depan.
Beliau berkata, kemas kini garis panduan itu dibuat untuk “melindungi sensitiviti rakyat negara ini”.
The Star kemudiannya menurunkan laporan itu.