
Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat berkata, ia prosedur biasa bagi individu disiasat dalam sesuatu kes dibebaskan dengan jaminan polis tanpa membabitkan sebarang bayaran.
“Itu (dilepaskan) jamin polis…maksudnya jaminan polis ini bukan memberi wang kepada polis, sebaliknya jaminan polis bagi memastikan suspek menghadiri dan memberi kerjasama atas siasatan dijalankan.
“Kita tetap akan menyiasat dakwaan ahli kumpulan itu, sekiranya benar wujud sebarang salah laku, termasuk elemen salah guna wang seperti yang didakwa,” katanya menurut Harian Metro.
Beliau berkata, siasatan polis terhadap kes itu dianggap selesai kerana seorang suspek dihadapkan ke mahkamah pagi tadi.
“Saya sudah bercakap dengan (anggota) Radja pagi tadi. Dalam perbualan telefon itu, mereka mengucapkan terima kasih atas kerjasama yang diberikan pihak polis dalam kes ini.”
Ahli kumpulan Radja dalam video wawancara dengan media Indonesia mendakwa dua suspek utama kes itu dilepaskan selepas membayar jaminan polis RM10,000.
Pengurus Radja membuat laporan polis pada awal pagi Ahad lalu mendakwa artisnya menerima ugutan bunuh dan kata-kata kesat selepas konsert di Stadium Tertutup Arena Larkin kira-kira 11.15 malam Sabtu lalu, dipercayai akibat salah faham kumpulan itu dengan penganjur.
Susulan itu, polis menahan seorang warga tempatan berusia 37 tahun dan warga asing berusia 48 tahun di perkarangan IPD Johor Bahru Selatan pada petang hari sama.
Pagi tadi, pemilik syarikat pengurusan acara, CS Muremthiram mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru atas tuduhan melakukan ugutan bunuh terhadap Radja pada Sabtu lalu.