
Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) menekankan bahawa, Anwar semasa membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan 2023 memberitahu negara kerugian RM10 bilion setahun akibat ketirisan diesel bersubsidi.
Bagaimanapun, katanya, mengikut data Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, hanya diesel bersubsidi diseludup bernilai RM18.7 juta dirampas dari 2018 hingga 2022.
Beliau turut mempersoalkan Anwar berhubung angkanya, mendakwa Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub baru-baru ini berkata kementerian itu baru mula mengumpul data mengenai isu itu.
“Sebab itu, saya memohon Dewan untuk merujuk kes ini kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.”
Pada Februari, Salahuddin berkata, pasukan petugas khas akan dibentuk untuk menyelesaikan isu ketirisan diesel bersubsidi diesel, sambil menambah bahawa kementeriannya akan “meneliti semula data”.
Rosol memfailkan usul itu bawah Fasal 36(12) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, yang menyatakan bahawa mana-mana ahli yang mengeluarkan kenyataan mengelirukan Dewan disifatkan menghina majlis dan ahli itu boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan bagi kesalahan itu.
Timbalan Speaker Ramli Nor berkata, beliau akan membiarkan Speaker Johari Abdul membuat keputusan mengenai usul itu.
RSN Rayer (PH-Jelutong) kemudian bertanya kepada Rosol mengapa beliau tidak hadir di Dewan Rakyat Khamis lepas untuk membangkitkan persoalan ketika Anwar menyampaikan ucapan penggulungan mengenai rang undang-undang itu.
“Saya ingat ramai Ahli Parlimen pembangkang tidak hadir. Jadi, kenapa bangkitkan isu ini sekarang?” soal Rayer.