
Ngeh Koo Ham (DAP-Beruas) berkata, cukai-cukai tersebut menambah kos bagi pengusaha yang turut berdepan peningkatan kos pengeluaran.
“Industri ini makin tenat kerana kos pengeluaran sudah meningkat pada satu tahap yang amat tinggi dan tidak menguntungkan,” katanya di Dewan Rakyat.
“Saya menyarankan kerajaan supaya membatalkan semua jenis cukai yg bukan berlandaskan keuntungan seperti cukai navy (navy tax), cukai eksport, cukai seal (seal tax) dan juga, cukai luar jangka (windfall tax).”
Menurutnya, kos projek kelapa sawit yang bernilai RM563.8 juta tidak setara dengan peruntukan diberikan, iaitu hanya RM7.7 juta.
Tambahnya, kerajaan mendapat cukai berbilion ringgit daripada Golden Crop tetapi tidak mengembalikan cukai mencukupi untuk membuat penyelidikan bagi menambah kualiti pengeluaran kelapa sawit.
“Saya mohon kerajaan beri peruntukan yang mencukupi dan industri ini, ‘angsa emas’ yang sudah tenat ini mesti diselamatkan.
“Kalau industri ini hancur, ia akan memberi implikasi besar kepada ekonomi dan keadaan sosial kita,” katanya.
Terdahulu media melaporkan, eksport sawit Malaysia dijangka terus lemah tahun ini susulan persaingan sengit daripada Indonesia namun bakal “terselamat” berikutan musim perayaan Aidilfitri akan datang.
Menurut RHB Investment Bank, inventori minyak sawit Malaysia meningkat 3.3% bulan ke bulan pada Januari meskipun pada musim keluaran rendah disebabkan oleh permintaan yang lemah.
Bank pelaburan itu berkata, pengeluaran minyak sawit Malaysia bagi Januari 2023 jatuh 14.7% berbanding bulan sebelumnya, manakala eksport menjunam 23% yang mengakibatkan peningkatan stok kepada 2.27 juta tan, meningkat 3.3% daripada bulan terdahulu.