Betul kata Fadillah tentang gaya hidup tak sihat, kata bekas timbalan menteri, MMA

Betul kata Fadillah tentang gaya hidup tak sihat, kata bekas timbalan menteri, MMA

Lebih banyak pendidikan perlu diberikan tentang kepentingan gaya hidup sihat dalam pencegahan penyakit, kata MMA.

Hospital awam sesak disebabkan kualiti perkhidmatan kesihatan yang disediakan dengan kos yang sangat rendah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas timbalan menteri kesihatan dan Persatuan Perubatan Malaysia menyokong kenyataan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof mengenai akibat gaya hidup tidak sihat.

“Saya tak rasa kenyataan Fadillah itu salah. Beliau cuba menekankan bahawa penyakit tidak berjangkit (NCD) berkaitan dengan gaya hidup,” kata Dr Lee Boon Chye.

Baru-baru ini, Fadillah memberitahu Dewan Rakyat bahawa hospital awam sesak disebabkan kualiti perkhidmatan kesihatan yang disediakan dengan kos yang sangat rendah.

Beliau juga menimbulkan kebimbangan bahawa gaya hidup tidak sihat menyumbang kepada keperluan orang ramai mendapatkan rawatan perubatan.

Laporan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tahun lepas menekankan bahawa NCD menjadi punca utama kematian dan hilang upaya di Malaysia. Kelaziman NCD semakin memberi tekanan kepada sistem kesihatan awam, tambahnya.

Lee berkata, walaupun kerajaan memanjangkan waktu operasi klinik kerajaan dan menyumberkan perkhidmatan kesihatan kepada hospital swasta, banyak lagi usaha boleh dilakukan.

“Saya mengesyorkan pesakit yang mempunyai penyakit ringan mendapatkan rundingan dalam talian,” katanya sambil menambah, pesakit-pesakit ini kemudiannya boleh mendapatkan preskripsi dan membeli ubat dari farmasi.

Presiden MMA Dr Muruga Raj Rajathurai berkata, wujud keperluan untuk lebih banyak pendidikan diberikan tentang kepentingan gaya hidup sihat dalam pencegahan penyakit.

Katanya, kesesakan di kemudahan kesihatan awam adalah disebabkan kualitinya, dan kos rawatan yang rendah, serta kekurangan kakitangan dan populasi yang semakin berkembang.

“Perlu ingat juga bahawa apabila penjagaan kesihatan diberi subsidi yang besar, mungkin ada kecenderungan untuk rakyat tidak menghargai sistem kesihatan awam dan kemudahannya, dan mengambil ringan tentang kesihatan,” katanya kepada FMT.

Muruga berkata, MMA bersetuju dengan pendekatan kerajaan untuk bekerjasama dengan sektor swasta, termasuk klinik pengamal perubatan am (GP).

“Pengurusan kes NCD juga boleh dirujuk kepada GP swasta memandangkan sebilangan besar pesakit yang menunggu berjam-jam di hospital dan klinik awam terdiri daripada pesakit NCD yang mahu mendapatkan rawatan susulan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial Azrul Mohd Khalib berkata, Fadillah menekankan perkara penting, iaitu majoriti populasi bergantung kepada sistem kesihatan awam.

“Ini membabitkan lebih 70% daripada populasi,” katanya.

Katanya, Fadillah turut menegaskan kepentingan doktor, jururawat dan kakitangan profesional lain dalam sektor tersebut dalam memastikan perkhidmatan kesihatan penting dapat disampaikan.

Bagaimanapun, kata Azrul, kos perkhidmatan kesihatan awam bukanlah rendah dan sebenarnya serupa dengan kos dalam sektor swasta.

“Namun memandangkan hampir 98% kos penjagaan kesihatan disubsidi oleh pembayar cukai atau dana awam, kelihatan seperti penjagaan kesihatan awam percuma atau murah,” katanya.

“Ini tanggapan yang salah, dan penggubal undang-undang mesti diingatkan bahawa pembiayaan penjagaan kesihatan semasa di Malaysia tidak mampan dan memerlukan reformasi segera.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.