Cetak buku tentang sawit hampir RM4 juta ‘tak masuk akal’, SPRM digesa siasat

Cetak buku tentang sawit hampir RM4 juta ‘tak masuk akal’, SPRM digesa siasat

Teresa Kok (PH-Seputeh) mempersoalkan bagaimana kos percetakan buku yang diedarkan kepada semua sekolah itu boleh mencecah hampir RM4 juta dan menggesa agar ia diaudit.

Teresa Kok menunjukkan buku ‘Mari Kenali Sawit’ untuk versi sekolah menengah dan rendah yang kos percetakannya didakwa menelan belanja hampir RM4 juta.
KUALA LUMPUR:
Kementerian Perladangan dan Komoditi (MPIC) digesa menjalankan audit terhadap percetakan buku Mari Kenali Sawit untuk versi sekolah menengah dan rendah yang dilihat menelan belanja besar dan “tidak masuk akal”.

Teresa Kok (PH-Seputeh) berkata, sebanyak 210,060 buku versi sekolah rendah dan 62,475 buku versi sekolah menengah telah dicetak dengan masing-masing berharga RM13.30 dan RM19.30 seunit dengan belanja hampir RM4 juta.

“Yang Berhormat tahu kos percetakan, sebab dalam PRU kita memang buat percetakan untuk publisiti. Bagaimana buku macam ini boleh berharga RM13.30 dan RM19.30.

“Menteri perlu buat siasatan dan audit untuk projek ini, adakah buku-buku ini dihantar ke semua sekolah seluruh negara, adakah buku ini dihantar ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) seluruh negara,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2023 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat.

Menurutnya, perkara tersebut amat serius kerana melibatkan peruntukan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) iaitu dana daripada pemain industri yang juga pekebun kecil.

Sementara itu, dalam sidang media berasingan, Teresa yang juga bekas menteri MPIC menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan terhadap perkara terbabit.

“Itu sebab saya bangkitkan di dewan tadi, menteri perlu siasat dan umumkan kepada semua dan juga mungkin SPRM perlu masuk, adakah ini berasas,” katanya.

Tambahnya lagi, beliau juga telah bertemu dengan pengusaha percetakan di Kuala Lumpur bagi mendapatkan kepastian berhubung kos sebenar untuk mencetak buku-buku tersebut.

“Saya pernah semak harga syarikat percetakan, sebenarnya percetakan macam ini kurang pada RM3,” katanya.

Pada 6 April tahun lalu, Zuraida Kamaruddin yang merupakan menteri MPIC ketika itu berkata sejumlah 300,000 naskah buku Mari Kenali Sawit akan diedarkan di sekolah rendah dan menengah kerajaan serta swasta terpilih seluruh negara dalam usaha kerajaan memberi pendedahan berhubung kelapa sawit kepada pelajar.

Zuraida berkata buku itu memuatkan fakta mengenai kelapa sawit dan kepentingan serta sumbangan industri komoditi itu kepada pembangunan sosioekonomi dan pendapatan negara.

Dalam pada itu, Teresa turut mempersoalkan jumlah peruntukan untuk menentang kempen anti-minyak sawit yang dikurangkan daripada RM20 juta kepada RM10 juta dalam Belanjawan 2023 baharu.

“Dengan pengurangan ini, bagaimana Malaysia nak lawan NGO dan mereka yang anti minyak sawit ini. Memandangkan sumbangan industri sawit yang besar kepada Malaysia, ia sekurang-kurangnya patut ditambah RM30 juta,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Siti Aminah Aching menyambut baik gesaan Kok berkenaan kos penerbitan dan pengedaran Mari Kenali Sawit, dan berkata kementerian akan mengambil tindakan sewajarnya.

Berkenaan peruntukan untuk menentang kempen anti-minyak sawit, Siti Aminah berkata kementerian meminta lebih RM20 juta tetapi hanya RM10 juta diluluskan.

Beliau menggesa menteri kewangan mempertimbangkan lebih banyak peruntukan untuk menentang kempen anti-minyak sawit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.