162 notis amaran pekerja e-panggilan, p-panggilan gagal carum Perkeso

162 notis amaran pekerja e-panggilan, p-panggilan gagal carum Perkeso

Kegagalan mendaftar dan mencarum adalah satu kesalahan dan boleh dipenjara hingga dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Dari Jun 2022 hingga Januari 2023, seramai 108,237 orang (38.5%) yang berdaftar dan aktif mencarum Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017.
PETALING JAYA:
Sebanyak 162 notis amaran dikeluarkan kepada individu bekerja sendiri yang gagal berdaftar dan mencarum dalam dua sektor mandatori di bawah skim perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) setakat 31 Jan.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, berkata sektor berkenaan sektor pengangkutan penumpang (e-panggilan) dan sektor pengangkutan dan penghantaran barangan atau makanan (p-panggilan).

Katanya, berdasarkan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017, kegagalan orang bekerja sendiri dalam dua sektor berkenaan untuk mendaftar dan mencarum skim keselamatan sosial pekerjaan sendiri merupakan satu kesalahan dan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau didenda RM10,000 atau kedua-duanya.

“Kementerian Sumber Manusia melalui Perkeso akan memastikan lebih ramai orang bekerja sendiri tampil mendaftar diri,” katanya menerusi jawapan dimuatnaik di laman sesawang Parlimen.

Beliau menjawab pertanyaan P Prabakaran (PH-Batu) yang meminta menteri menyatakan jumlah pemain ekonomi gig yang mencarum skim keselamatan sosial pekerjaan sendiri yang telah dikuatkuasa pada 1 Jun 2022 hingga Jan 2023 termasuk penguatkuasaan oleh kementerian.

Sivakumar berkata berdasarkan statistik Perkeso bagi tempoh itu, seramai 108,237 orang (38.5%) yang berdaftar dan aktif mencarum Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017.

“Daripada jumlah itu, seramai 45,568 orang atau 42.1% terlibat dengan e-hailing,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.