Wakil parti politik dalam GLC ditapis sekretariat kerajaan perpaduan

Wakil parti politik dalam GLC ditapis sekretariat kerajaan perpaduan

Setiap parti yang membentuk kerajaan akan berunding terlebih dahulu sebelum sebarang pelantikan dimuktamadkan, kata Zahid Hamidi.

Sekretariat kerajaan perpaduan akan memperincikan dahulu latar belakang individu yang dicalon untuk mewakili parti politik dalam GLC. (Gambar Bernama)
BENTONG:
Lantikan ahli atau profesional mewakili parti politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diketahui dan ditapis sekretariat kerajaan perpaduan, kata Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi.

Beliau berkata setiap parti yang membentuk kerajaan akan berunding terlebih dahulu sebelum sebarang pelantikan dimuktamadkan.

“Malah sebelum sesuatu pelantikan dibuat, sekretariat ini akan memperincikan dahulu latar belakang individu berkenaan.

“Ini dibuat agar tokoh-tokoh mewakili parti politik yang diketengahkan mempunyai pengalaman dan latar belakang yang mampu menguatkan kerajaan negeri dan persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pengenalan calon pengerusi tetap, timbalan pengerusi tetap, naib presiden, dan ahli majlis tertinggi sempena pemilihan Umno peringkat Pahang.

Sementara itu, Zahid yang juga presiden Umno berkata beliau amat berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh menteri dan timbalan menteri daripada partinya ketika penubuhan kerajaan perpaduan mencapai 100 hari, hari ini.

Menurutnya, beliau mempunyai kaedah tersendiri dalam memantau prestasi semua menteri dan timbalan menteri terhadap perkhidmatan yang diberikan mereka di kementerian, antaranya melalui jawapan pada sidang Dewan Rakyat serta kenyataan yang dikeluarkan kepada media.

“Apa yang penting mereka dapat memenuhi harapan rakyat kerana imej mereka malah saya sendiri adalah cerminan kepada imej Umno … khidmat yang diberikan telah mengubah persepsi bahawa tokoh-tokoh Umno boleh memberikan perkhidmatan yang baik,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.