PM lantik Faiz Abdullah pengerusi baharu Isis

PM lantik Faiz Abdullah pengerusi baharu Isis

Faiz Abdullah pernah berkhidmat sebagai penasihat di Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dari 2018 hingga 2020 dan kemudian di Miti, pada 2020 hingga 2022.

Faiz Abdullah dilatih sebagai peguam, namun mempunyai pengalaman luas dalam dasar awam dan penyelidikan.
PETALING JAYA:
Faiz Abdullah dilantik pengerusi baharu Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (Isis) Malaysia untuk penggal tiga tahun.

Dalam kenyataan, Isis berkata, pelantikannya mengetuai badan pemikir itu dibuat Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berkuatkuasa 17 Feb.

Faiz adalah seorang peguam, namun mempunyai pengalaman luas dalam dasar dan penyelidikan awam, pernah berkhidmat sebagai penasihat khas dasar dan hal ehwal antarabangsa kerajaan Selangor.

Beliau kemudiannya berkhidmat sebagai penasihat strategik dan hubungan antarabangsa di Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dari 2018 hingga 2020 dan kemudian di Kementerian Perdagangan dan Industri Antarabangsa dari 2020 hingga 2022.

Beliau juga pernah mengasaskan Forum Dunia untuk Demokrat Islam pada 2009, yang dipengerusikan Anwar.

“Faiz juga mempunyai pengalaman luas dalam sektor korporat, menerajui pelbagai syarikat tersenarai awam. Beliau merupakan wartawan di New Straits Times sebelum beralih kepada penguatkuasaan undang-undang dan kajian undang-undang.

“Dalam 30 tahun menjadi pengamal undang-undang dan korporat, beliau pakar dalam penggabungan dan pengambilalihan, kewangan korporat dan nasihat, usaha wajar forensik dan litigasi kepentingan awam.”

Faiz juga merupakan dekan pengasas sekolah perniagaan Universiti Selangor (Unisel), di mana beliau masih mengajar pengurusan strategik dan tingkah laku organisasi.

Beliau berterima kasih kepada Anwar kerana memberinya tanggungjawab mengetuai Isis, sambil berkata, pelantikan lembaga pengarah terbaik menunjukkan Putrajaya mahu memastikan Isis kekal sebagai badan pemikir bertaraf dunia.

“Dengan Malaysia Madani sebagai falsafah kenegaraan, Malaysia sudah bersedia untuk memainkan peranan lebih besar di arena antarabangsa dan kami berada di sini untuk memajukan agenda itu dan membantu merealisasikan aspirasi global kami.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.