Jakim pertimbang wujud garis panduan ceramah agama ahli politik di masjid, surau

Jakim pertimbang wujud garis panduan ceramah agama ahli politik di masjid, surau

Jakim akan pertimbang mewujudkan garis panduan untuk ahli politik memberi ceramah agama di masjid dan surau, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohd Na'im Mokhtar.

KUALA LUMPUR:
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan pertimbang mewujudkan garis panduan ceramah untuk ahli politik memberi ceramah agama di masjid dan surau, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau bagaimanapun mengingatkan bahawa garis panduan itu tidak melanggar bidang kuasa negeri berkenaan hal ehwal agama, selaras dengan fungsi Jakim.

“Kita buat garis panduan tapi keputusan terserah kepada negeri,” katanya kepada pemberita, selepas melancarkan Program Konsultasi Guaman Syariah Percuma sempena Ramadan.

“Sama ada fatwa, isu tauliah, kehakiman, atau pendidikan semua itu berbalik kepada kuasa negeri. Sebagai agensi penyelaras kita akan sentiasa cuba untuk buat penyelarasan.”

Sebelum ini, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu mengumumkan semua ahli politik tanpa tauliah atau kebenaran tidak dibenar menggunakan masjid dan surau di seluruh Terengganu sebagai pentas kuliah atau ceramah.

Larangan itu turut meliputi pengajaran agama atau menjadi khatib dan imam solat Jumaat.

Ia bertujuan memastikan masjid dan surau tidak disalah guna, selain mengelak pengisian bercampur dengan unsur politik kepartian.

Terbaharu, Sultan Selangor mengingatkan masjid dan surau tidak dijadikan medan serta propaganda politik kepartian.

Pihak berkuasa agama di Selangor diarah memastikan masjid dan surau bebas dari unsur politik yang boleh memecahkan perpaduan dan keharmonian.

Perak, Negeri Sembilan, dan Johor turut mempunyai larangan sedemikian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.