Felda diarah kaji semula projek rumah terbengkalai 60% ke bawah, kata menteri

Felda diarah kaji semula projek rumah terbengkalai 60% ke bawah, kata menteri

Felda bagaimanapun akan meneruskan projek sedia ada berstatus 70% siap dengan peruntukan RM296.5 juta.

Azalina Othman Said berkata, Felda akan menyediakan laporan menyeluruh mengenai projek perumahan generasi kedua agensi itu untuk diberi pertimbangan perdana menteri dalam tempoh terdekat.
PETALING JAYA:
Kerajaan meminta Felda mengkaji semula projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) berstatus 60% ke bawah.

Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman Said, berkata kerajaan juga melakukan semakan peruntukan terhadap tujuh tapak PGBF yang masih terbengkalai dengan anggaran RM200 juta melalui “rolling plan’ keempat Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“(Bagaimanapun) Felda meneruskan projek sedia ada berstatus 70% siap dengan peruntukan kerajaan sebanyak RM296.5 juta.

“Felda akan menyediakan laporan menyeluruh mengenai perkara ini dan akan diserahkan kepada pertimbangan perdana menteri (Anwar Ibrahim) dalam masa terdekat,” katanya menerusi jawapan dimuatnaik di laman web Parlimen.

Beliau menjawab persoalan Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) yang meminta kerajaan menyatakan pendirian mengenai kebenaran pembinaan rumah generasi kedua di atas tanah lot generasi pertama.

Pada 27 Okt 2022, perdana menteri ketika itu Ismail Sabri Yaakob, berkata projek PGBF terbengkalai akan dimulakan pada Disember tahun sama dan dijangka siap untuk diduduki, pada Disember 2024.

Katanya, projek tersebut akan disiapkan menerusi inisiatif pembiayaan swasta dengan kos pembangunan RM204 juta.

Ia susulan pelbagai rungutan generasi baharu Felda terhadap projek itu yang terbengkalai antara tujuh hingga 12 tahun di beberapa lokasi di seluruh negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.