
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, isu itu melibatkan PKR, Amanah, dan Umno, yang digambarkan sebagai “tonggak Melayu” dalam gabungan kerajaan perpaduan, berbanding sosok Anwar sendiri.
Azmi berpandangan tiga parti berkenaan gagal menawan sokongan Melayu sejak penubuhan kerajaan perpaduan.
“Persepsi (pengundi Melayu) adalah DAP lebih kuat (berbanding tiga parti itu). Mereka tidak melihat tiga parti itu ketika ini benar-benar mampu mempertahankan kepentingan agama dan bangsa Melayu.
“Itulah sebabnya mengapa kerajaan perpaduan kurang mendapat sambutan dalam kalangan orang Melayu, seperti yang kita saksikan dalam keputusan PRU15,” katanya kepada FMT.
Sambil mengakui PKR merupakan platform parti berbilang bangsa yang terbaik, Azmi berkata parti diterajui Anwar itu masih bergelut meraih sokongan pengundi Melayu.
Beliau berkata, Umno kekal menjadi taruhan dalam mendapatkan sokongan Melayu, sekiranya parti itu lebih cenderung terhadap reformasi.
Katanya, gabungan perpaduan mampu menembusi nusa teras Melayu pada PRN akan datang jika ahli Umno memilih pemimpin yang mempunyai minda reformasi.
Minggu lepas, penganalisis politik Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata kelemahan ketara kerajaan adalah penerimaannya oleh orang Melayu.
Fauzi dari Universiti Sains Malaysia berkata, Anwar cuba meraih sokongan orang Melayu, namun dilihat masih tidak mencukupi.
Azmi bersetuju dengan pandangan Fauzi, dengan menyatakan Anwar sudah melakukan sehabis baik menyediakan insentif dan kelebihan kepada orang Melayu, Islam, dan Bumiputera, dalam Bajet 2023.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim berkata kerajaan tidak sepatutnya mengambil pendekatan berasaskan masyarakat untuk menyelesaikan masalah rakyat, sebaliknya menerima pakai pendekatan berdasarkan keperluan.
Ahli Parlimen PKR itu yakin Anwar dan Pakatan Harapan (PH) berupaya melaksanakan dasar mementingkan kebajikan rakyat tanpa mengira kaum.
“Golongan yang benar-benar mendapat manfaat adalah orang Melayu kerana mereka majoriti dalam kumpulan sosioekonomi B40,” katanya.
Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya bersetuju, menyatakan Anwar perlu bekerja keras meningkatkan kesejahteraan rakyat dalam kelompok berpendapatan rendah dan pertengahan, termasuk memerangi rasuah bagi menarik sokongan Melayu.
Tambahnya, mempromosikan “keadilan ekonomi” dan menentang rasuah antara teras utama Islam, dan secara semula jadinya boleh menawan sokongan Melayu.