
RSN Rayer (PH-Jelutong) berkata keselamatan hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan, dan Mahkamah Persekutuan dan keluarga mereka harus terjamin, terutama yang mendengar kes membabitkan ahli politik berprofil tinggi.
“Kita lihat sering kali terdapat ancaman dibuat terutama macam kes baru-baru ini terhadap ketua hakim negara,” katanya di Dewan Rakyat, ketika membahaskan Belanjawan 2023 peringkat jawatankuasa.
“Pengawal peribadi juga bertujuan menentukan keselamatan mereka dan keluarga sentiasa terjamin terutama apabila mendengar kes personaliti seperti Yang Berhormat Pagoh (Muhyiddin Yassin) dan YB Tasek Gelugor (Wan Saiful Wan Jan).”
Rayer dipercayai merujuk kepada penahanan seorang lelaki di Puchong pada 19 Ogos lepas, susulan tular komen berbaur ugutan dan ancaman terhadap Tengku Maimun di laman sosial.
Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan kerana mengeluarkan kenyataan berkecenderungan menghasut, Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
Muhyiddin ketika ini menghadapi tujuh tuduhan iaitu empat tuduhan salah guna kuasa berkait program Jana Wibawa, untuk mendapatkan RM232.5 juta bagi partinya, Bersatu; dua tuduhan pengubahan wang haram membabitkan sejumlah RM195 juta; dan satu tuduhan pengubahan wang haram berhubung program Jana Wibawa, yang mana beliau didakwa menerima RM5 juta hasil kegiatan haram daripada sebuah syarikat, yang disalurkan ke akaun Bersatu.
Muhyiddin mengaku tidak bersalah terhadap semua tuduhan dan minta dibicarakan.
Wan Saiful pula mengaku tidak bersalah terhadap dua tuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan progam Jana Wibawa.