
Syarikat pengimport tunggal telur dari India itu, berkata kenyataan Azmin tersebut cuba mengelirukan orang ramai untuk mengalih perhatian kes difailkan terhadap Muhyiddin Yassin.
“J&E tidak pernah diberikan sebarang rundingan terus oleh kerajaan sama ada menjual atau menawarkan, menjual telur diimport dari India kepada Malaysia atau mana-mana agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya dalam kenyataan.
Katanya, syarikat itu tidak pernah menjual telur kepada kerajaan, malah hanya mengimport sebagai langkah sementara untuk membekalkan bekalan protein itu kepada pasar raya dan pasar mini tempatan semasa musim perayaan dari Disember 2022 hingga Jun 2023.
Ini kerana, katanya, negara mengalami masalah kekurangan bekalan telur serius sejak Oktober tahun lalu, menyebabkan pihaknya memohon kebenaran mengimport telur.
Syarikat itu juga menafikan dakwaan Azmin J&E diberi pengecualian oleh kerajaan daripada perlu menjalani pemeriksaan keselamatan makanan.
“Setiap penghantaran telur diimport ke Malaysia akan diperiksa oleh pegawai dibenarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dan sampel kemudian akan dikumpulkan untuk ujian di makmal Jabatan Veterinar,” katanya.
“J&E menuntut Azmin mengeluarkan kenyataan pembetulan relevan secara bertulis kepada kami dan di platform media sosial bagi tempoh 72 jam dari tarikh ini, jika tidak, kami akan memulakan tindakan undang-undang terhadapnya.”
Semalam, Azmin ketika berucap pada ceramah Perikatan Nasional (PN), mendakwa kerajaan menganugerahkan projek mengimport telur dari India melalui rundingan terus.
Peguam J&E, S Ravichandaran mengesahkan melalui surat tuntutan kepada Ahli Parlimen Ayer Hitam Wee Ka Siong, pada 1 Mac bahawa syarikat itu adalah pengimport tunggal telur dari India.
Syarikat itu telah mengeluarkan surat tuntutan kepada Wee selepas mendakwa presiden MCA telah mengeluarkan kenyataan “mengelirukan, salah maklumat dan tiada bukti” mengenai telur import dari India.