
“Senaraikan pelantikan politik oleh kerajaan baharu untuk jawatan tertinggi dan lembaga pengarah semua syarikat berkaitan kerajaan dan badan berkanun,” katanya ketika perbahasan peringkat jawatankuasa Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat.
Beliau berkata, senarai itu perlu termasuk pelantikan politik untuk institusi seperti Mara, Felda, Felcra dan universiti awam.
Kerajaan Anwar sebelum ini berkata, program reformasi institusinya membabitkan penstrukturan semula syarikat dan anak syarikat kerajaan.
Gesaan Radzi menyusul sehari selepas Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan bekas ketua Pemudanya, Asyraf Wajdi Dusuki dilantik mengetuai Mara mulai 10 Mac lalu.
Asyraf menggantikan bekas Ahli Parlimen Beaufort, Azizah Dun daripada Bersatu Sabah yang memegang jawatan itu sejak tiga tahun lalu.
‘Dedah keadaan hutang negara’
Radzi, yang juga naib presiden Bersatu, meminta Kementerian Kewangan mendedahkan suntikan modal bawah Belanjawan 2023 untuk syarikat tujuan khas (SPV) milik kerajaan dan alasannya.
Beliau turut menggesa kerajaan mendedahkan baki hutang negara dan hutang baharu yang diperoleh setiap tahun mulai 2000 hingga 2023.
“Tujuan ini untuk memberi kita semua gambaran besar keadaan yang membawa kepada hutang terkumpul kita hari ini.”
Beliau turut bertanya jika kerajaan mempunyai rancangan menstruktur semula pembayaran balik sebarang hutangnya berdasarkan kedudukan kewangan negara dan kegawatan ekonomi yang bakal berlaku.
Januari lalu, Anwar yang juga menteri kewangan dilaporkan berkata, hutang negara termasuk liabiliti mencecah RM1.5 trilion.