Bekas pembantu Syed Saddiq diugut pegawai SPRM, mahkamah diberitahu

Bekas pembantu Syed Saddiq diugut pegawai SPRM, mahkamah diberitahu

Siti Nurul Hidayah memberitahu Mahkamah Tinggi, beliau dikasari pegawai SPRM.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman didakwa bersubahat dalam pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang.
KUALA LUMPUR:
Seorang bekas pembantu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberitahu Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan rasuah Ahli Parlimen Muar itu bahawa beliau diugut dan dikasari pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tiga tahun lalu.

Siti Nurul Hidayah, saksi dalam perbicaraan rasuah Syed Saddiq, berkata insiden itu berlaku ketika beliau ke SPRM memberi keterangan berhubung siasatan ke atas bekas ketua Pemuda Bersatu itu.

Selepas insiden itu, Nurul yang merupakan setiausaha peribadi Syed Saddiq ketika itu, membuat laporan polis di Putrajaya dan mengadakan sidang media berhubung kejadian terbabit.

Peguamnya, Haijan Omar mengemukakan salinan laporan itu di mahkamah, tetapi tidak dapat menyerahkannya sebagai bukti kerana beberapa perenggan hilang. Nurul akan menyerahkan laporan asal esok.

Sebelum ini, Syed Saddiq dalam keterangannya menyatakan Nurul bersama suaminya, Abdul Hannaan Khairy dan Bendahari Bersatu ketika itu, Rafiq Hakim Razali ditakut-takutkan pegawai SPRM.

Presiden Muda itu berkata, keterangan mereka bertiga, yang memihak kepada kesnya, disekat.

Menurut pernyataan saksi Nurul, beliau terbabit dalam kutipan dana untuk kempen pilihan raya Syed Saddiq pada 2018 dan kira-kira RM30,000 yang dikutip itu digunakan bagi menempah dewan serta membayar makanan dan minuman serta untuk sukarelawan.

“Saya perlu mengaku kutipan dana di Muar gagal mendapat sambutan baik,” katanya sambil menambah Syed Saddiq menghabiskan kira-kira RM170,000 untuk kempen itu, yang dilaporkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya.

Dalam pemeriksaan balas Timbalan Pendakwa Raya, Ashraf Tahir, Nurul berkata, beliau tidak pasti mengenai butiran pertuduhan yang dihadapi Syed Saddiq.

“Tetapi, saya di sini untuk membantu tertuduh dalam pembelaannya dan memastikan beliau tidak disabitkan dengan pertuduhan itu.”

Syed Saddiq didakwa bersuhabat dalam pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang berhubung dana kira-kira RM1.2 juta yang dikaitkan dengan Pemuda Bersatu.

Pembelaannya terhadap pertuduhan pecah amanah ialah tiada peruntukan dalam perlembagaan Bersatu menghendaki beliau mendapatkan kelulusan Majlis Tertinggi untuk penggunaan dananya.

Bagi tuduhan salah guna harta, Syed Saddiq berkata, beliau mendapat wang itu sendiri melalui penganjuran dua projek kutipan dana di Muar dan Ampang.

Perbicaraan di depan Hakim Azahar Abdul Hamid bersambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.