Putrajaya yakin dapat kurang kos ambil amah Indonesia

Putrajaya yakin dapat kurang kos ambil amah Indonesia

Menteri Sumber Manusia V Sivakumar yakin keputusan dapat dicapai hujung bulan ini.

Kos pengambilan pembantu rumah dari Indonesia sekitar RM15,000, tetapi ada laporan beberapa majikan terpaksa membayar lebih RM20,000.
PETALING JAYA:
Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar yakin kos pengambilan pembantu rumah dari Indonesia dapat dikurangkan selepas beberapa rundingan dalam bulan ini.

Katanya, perjumpaan akan diadakan untuk meneliti isu ini ketika lawatan menteri ketenagakerjaan Indonesia ke Malaysia pertengahan bulan ini.

Beliau berkata, ini menyusul beberapa rundingan antara wakil dua negara, termasuk mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama Malaysia-Indonesia untuk menyelesaikan isu ini.

“Saya yakin satu keputusan dapat dicapai hujung Mac ini berhubung hal kos ini. Perkara yang sama telah dibincangkan dalam lawatan perdana menteri dan lawatan Kementerian Dalam Negeri ke Indonesia baru-baru ini,” katanya menurut Bernama.

Ketika ini, beliau berkata, kos pengambilan pembantu rumah dari Indonesia sekitar RM15,000 dengan sebahagian besarnya merupakan kos di negara sumber itu sendiri.

“Kita lihat mereka akan ada ‘multilevel recruitment’…contohnya, pekerja domestik itu dibawa dari satu kawasan pedalaman dan mungkin melalui beberapa agensi sebelum tiba di negara kita, jadi kos itu akan meningkat.”

Baru-baru ini, terdapat laporan beberapa majikan membayar lebih RM20,000 untuk mendapatkan pembantu rumah dari Indonesia.

Tetapi, Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono pada 8 Mac lalu berkata, pihaknya tidak menerima sebarang aduan walaupun selepas membaca laporan berhubung dakwaan itu.

“Saya pernah berkata sebelum ini dan saya menyatakannya sekali lagi, buat aduan rasmi kepada kami jika mana-mana agensi di Malaysia atau Indonesia mengenakan caj melebihi RM15,000. Kami tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya kepada FMT pada Rabu lalu.

Setakat 22 Jan lalu, terdapat 399,827 warga Indonesia bekerja di Malaysia dalam sektor perkilangan, pembinaan, perladangan, perkhidmatan, pertanian, pembantu rumah asing, perlombongan dan pengkuarian.

Daripada jumlah itu, seramai 63,323 bekerja sebagai pembantu rumah asing dan warga Indonesia mewakili jumlah terbesar dalam sektor domestik di Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.