Polis siasat kes Radja diugut bunuh

Polis siasat kes Radja diugut bunuh

Polis Johor giat mengesan suspek selepas merakam percakapan semua mangsa.

Polis Johor menerima laporan pada 5.34 pagi tadi yang dibuat pengurus Radja. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis sedang menyiasat dakwaan kumpulan muzik Indonesia, Radja menerima ugutan bunuh dan kata-kata kesat susulan laporan awal pagi tadi.

Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat, berkata pihaknya giat mengesan suspek selepas merakam percakapan semua mangsa.

“Polis Johor mengesahkan ada menerima laporan pada 5.34 pagi tadi yang dibuat oleh pengurus artis berkenaan.

“Pengadu mendakwa kumpulan Radja menerima ugutan jenayah dan dilemparkan kata-kata kesat,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Katanya, polis Johor memandang serius perkara itu dan tidak akan bertolak ansur dengan sebarang tindakan membabitkan salah laku jenayah dan ketenteraman awam yang boleh mengganggu gugat keamanan.

Salah faham antara penganjur konsert dan kumpulan itu menyusul konsert Radja di Stadium Tertutup Arena Larkin, Johor Bahru, malam tadi.

Dua lelaki dipercayai wakil penganjur didakwa melemparkan kata-kata kesat dan ugutan bunuh kepada ahli kumpulan itu, selepas mereka tidak dimaklumkan mengenai sesi “meet and greet” dengan peminat dan beberapa aktiviti lain dirancangkan penganjur.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.