Jangan dorong pekerja jejas keselamatan masa depan, MTUC tegur cadangan cagar KWSP

Jangan dorong pekerja jejas keselamatan masa depan, MTUC tegur cadangan cagar KWSP

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia berharap kerajaan bentang dasar yang lebih mampan dan mesra rakyat.

Cadangan membenarkan pencarum KWSP menggunakan simpanan sebagai cagaran kepada bank dikhuatiri ‘akan meningkatkan keberhutangan rakyat yang sudah meninggi’, kata MTUC. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan tidak patut mendorong pekerja menjejaskan keselamatan masa depan untuk keperluan semasa, dengan membolehkan pencarum KWSP menggunakan simpanan hari tua sebagai cagaran kepada bank bagi tujuan pembiayaan kewangan, kata kesatuan.

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) khuatir langkah itu akan menyebabkan rakyat semakin dibebani tanggungjawab kewangan kerana apabila masa berlalu, kadar faedah bank akan menjadi lebih tinggi daripada dividen KWSP.

“Ada pun sudah lebih tinggi,” kata Presiden Mohd Effendy Abdul Ghani, yang bimbang langkah ini “akan meningkatkan keberhutangan rakyat yang sudah meninggi”.

“Kami berharap kerajaan segera pertimbang semula cadangan itu dan membentangkan dasar yang lebih mampan dan mesra rakyat, yang akan mengeluarkan mereka daripada hutang dan bukannya mendorong mereka berhutang.”

MTUC yang mewakili 16.5 juta pekerja berkata jalan lebih selamat ketika ini adalah kerajaan menyalurkan lebih banyak wang ke dalam KWSP dan berkongsi keuntungan dengan rakyat, menerusi pelaburan yang bermanfaat.

“Penyelesaian jangka panjang bagi kita ialah mengkaji pelaksanaan elaun kos sara hidup dan pencen bagi pekerja sektor swasta bagi mengurangkan belanja sara hidup, dan paling penting memastikan kita mempunyai mekanisme gaji progresif yang mengambil kira upah untuk sara hidup (living wage),” katanya.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan cadangan itu Khamis lalu berkata keadah itu boleh ditawarkan kepada pencarum yang terdesak untuk mendapatkan pinjaman kewangan. Berdepan kritikan, beliau kemudian berkata kebenaran kepada pencarum menggunakan wang simpanan KWSP sebagai cagaran bank adalah bagi mereka yang mempunyai wang caruman yang besar, namun berhadapan kesulitan.

MTUC bagaimanapun berkata kumpulan pencarum yang mempunyai jumlah dana yang lebih besar adalah warga emas, dan ia tidak nampak bagaimana mencagar simpanan akan meningkatkan kualiti hidup golongan itu dan menggalakkan penyertaan mereka dalam masyarakat, selaras Dasar Kebangsaan untuk Warga Emas (2020-2030).

“Kurangnya tumpuan kepada perancangan masa depan sebagai negara menua adalah perkara yang perlu kita utamakan demi rakyat dan ekonomi, dan apabila kita bolehkan pekerja menggunakan KWSP sebagai cagaran, kita mendorong mereka menjejaskan keselamatan masa depan untuk keperluan semasa,” katanya.

Berdasarkan bancian 10 tahun 2010-2020, fenomena penuaan meningkat 6.8% berbanding 5% dan peningkatan peratusan kelompok berusia 65 tahun ke atas itu bakal menjadikan Malaysia negara tua menjelang 2030.

Pada Mei tahun lepas, menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Mustapa Mohamed, mengumumkan kerajaan membuat persediaan terperinci menghadapi fenomena penuaan yang semakin meningkat, dengan mewujudkan agenda negara menua menerusi perancangan pembangunan sosio-ekonomi.

Sementara itu, Effendy bimbang langkah itu akan menggalakkan hubungan tidak baik antara rakyat dan bank, memandangkan dana dalam KWSP terlindung daripada prosiding kemuflisan menurut Seksyen 51 Akta KWSP.

“Kalau saya buat pinjaman tetapi akhirnya saya tak mampu bayar hutang, bank boleh tuntut dengan siapa? Takkan tuntut daripada kerajaan, ini tidak adil,” katanya, dan menambah cadangan ini harus jelas agar semua pihak tidak keliru dengan hala tuju langkah ini.

“Jika penghutang gagal bayar balik pinjaman, apa perlu kita buat? Adakah kita perlu menangguhkan bayaran balik pinjaman?” katanya.

KWSP dalam kenyataan berkata ia sedang menilai dan memperincikan pelaksanaan kemudahan penggunaan baki caruman dalam Akaun 2 ahlinya untuk dijadikan cagaran membuat pinjaman peribadi bagi mereka yang memerlukan bantuan tunai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.