
ALOR SETAR: Dua kanak-kanak lelaki etnik Rohingya yang hilang selepas dikatakan terjatuh ke dalam lombong di Kampung Permatang Kedondong, Tikam Batu dekat Sungai Petani semalam, ditemui lemas hari ini.
Mayat Mamod Shukur Belal Hussain, 4, ditemui sekitar 400m dari kawasan tebing lombong itu kira-kira 8.05 pagi, manakala Md Nasim Hairul Husson, 6, ditemui kira-kira 15m dari tempat dia dipercayai jatuh pada 2.54 petang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tikam Batu, Mohd Syukri Hashim berkata operasi mencari dan menyelamat kedua-dua mangsa dijalankan selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian dua kanak-kanak dikhuatiri lemas di kawasan lombong itu pada 9.43 malam semalam.
Difahamkan, kedua-dua kanak-kanak itu adalah pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).