Polis lumpuhkan sindiket buru hidupan liar

Polis lumpuhkan sindiket buru hidupan liar

Setiausaha Polis Noorsiah Mohd Saaduddin berkata ia berjaya dilumpuhkan pihaknya menerusi Operasi Bersepadu Khazanah pada 23 Feb lepas.

Sindiket pemburuan haram hidupan liar di sekitar Gua Musang berjaya dilumpuhkan pihak polis dengan nilai keseluruhan rampasan RM303,000. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Polis berjaya melumpuhkan satu rangkaian sindiket pemburuan haram hidupan liar di sekitar Gua Musang, Kelantan baru-baru ini menerusi Operasi Bersepadu Khazanah.

Setiausaha Polis, Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata polis melalui Wildlife Crime Bureau, Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) dalam operasi pada 23 Feb lepas menahan tiga lelaki tempatan berumur antara 34 hingga 42 tahun serta merampas dua bahagian bangkai seekor Harimau Malaya dan tiga telefon bimbit.

Menurutnya, jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM303,000.

Noorsiah berkata siasatan kes itu dijalankan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di bawah Seksyen 68 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan semua suspek telah dituduh di Mahkamah Sesyen Gua Musang pada 2 Mac.

“Dua tertuduh telah mengaku salah dan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan dan denda RM450,000 serta tambahan 12 bulan penjara jika gagal membayar denda.

“Kedua-dua tertuduh gagal membayar denda yang dikenakan dan mahkamah menjatuhkan hukuman 22 bulan penjara manakala seorang lagi suspek mengaku tidak bersalah dan dikenakan jaminan RM30,000. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 10 April,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noorsiah berkata susulan daripada tangkapan itu, polis juga menahan suspek lelaki berumur 65 tahun pada 27 Feb dan kes masih dalam siasatan.

“Suspek merupakan pemilik senapang berlesen yang digunakan kesemua suspek bagi tujuan memburu secara haram dan polis merampas antaranya satu laras senapang dan 28 butir peluru, satu beg senapang warna hitam serta sebuah buku lesen memiliki senjata dan peluru,” katanya.

Semua rampasan dianggarkan bernilai RM12,000 manakala kes disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357) dan Seksyen 8(b) Akta Senjata 1960 (Akta 206).

Dalam pada itu, Noorsiah berkata polis sentiasa komited dalam usaha untuk memerangi jenayah berkaitan dengan hidupan liar khususnya pemburu haram dan mereka yang menjalankan perdagangan melibatkan spesies yang dilindungi dan terancam.

Beliau berkata polis juga sentiasa menyokong hasrat kerajaan untuk memastikan khazanah negara sentiasa terpelihara untuk generasi akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.