Idea ‘pasar raya mampu milik’ tak akan berjaya, kata pemimpin Bersatu

Idea ‘pasar raya mampu milik’ tak akan berjaya, kata pemimpin Bersatu

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata golongan bermodal mungkin tidak bersedia menerima idea Salahuddin Ayub itu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub mencadangkan pasar raya mampu milik diwujudkan sebagai pelan jangka panjang untuk membantu meringankan kos sara hidup.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Bersatu percaya idea mewujudkan pasar raya mampu milik yang dicadangkan oleh Salahuddin Ayub tidak akan diterima golongan bermodal.

Sebelum ini, menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup itu berkata golongan hartawan boleh melabur dalam pasar raya seperti itu untuk manfaat rakyat.

Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal bagaimanapun ragu-ragu cadangan itu boleh dilaksanakan.

“Ia penyelesaian yang mungkin (bagi masalah kos sara hidup), tetapi saya tak rasa ia akan diterima oleh golongan yang mungkin dikatakan mempunyai modal yang banyak ini,” katanya dalam temubual dengan FMT.

Beliau berkata golongan kaya mempunyai perniagaan sendiri untuk difikirkan.

“Kenapa mereka perlu pelbagaikan kepada benda yang mereka tidak ada kepakaran?”

Salahuddin mencadangkan idea pasar raya mampu milik itu di Dewan Rakyat baru-baru ini, sebagai rancangan jangka masa panjang untuk meringankan kos sara hidup.

Katanya, dia menemui pasar raya seperti itu di Britain dan Amerika Syarikat (AS), 10 tahun lalu.

Menurutnya, pasar raya itu memenuhi keperluan mereka yang memerlukan, dan jumlah pelanggan serta keuntungan nampaknya agak menarik untuk dicontohi Malaysia.

Salahuddin berkata kerajaan boleh memudahkan penubuhan lebih banyak pasar mini yang menawarkan harga rendah.

Ini akan menggalakkan persaingan yang sihat dan membantu menstabilkan harga barangan, katanya.

Penambahbaikan sistem penjagaan kesihatan awam

Wan Fayhsal mencadangkan kerajaan menaikkan caj minimum perkhidmatan di klinik dan hospital kerajaan, di mana kakitangan kerajaan dan pesara mendapat rawatan percuma manakala yang lain hanya membayar RM1 untuk mendaftar sebagai pesakit.

Beberapa tahun kebelakangan ini, Putrajaya telah digesa menaikkan bayaran di klinik dan hospital kerajaan bagi memastikan kemampanan perkhidmatan penjagaan kesihatan awam.

“Perkara ini tidak popular tapi penting, supaya masalah dari segi kekurangan peruntukan ini, dapat kita membantu sedikit sebanyak kerajaan daripada membiarkan Kementerian Kesihatan tiada peruntukan yang mencukupi,” kata Wan Fayhsal.

Ketika ditanya sama ada ini akan mengehadkan akses kepada penjagaan kesihatan, terutama bagi mereka dalam kumpulan B40, beliau berkata kementerian boleh mempertimbangkan kadar bayaran bertahap berdasarkan tangga gaji dan kemampuan, untuk dilaksanakan di klinik awam dan hospital.

Pada 22 Feb, FMT melaporkan bahawa Kementerian Kesihatan memohon peruntukan tiga kali ganda lebih besar daripada yang diberikan di bawah belanjawan sebelumnya dalam usaha menambah baik kemudahan penjagaan kesihatan.

Nota editor: Laporan ini telah dikemaskini dengan petikan langsung daripada temubual Wan Fayhsal, bagi menggantikan terjemahan Bahasa Inggeris sebelum ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.