
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Wan Saiful Wan Jan berkata, menyerahkan kepada polis untuk membuat siasatan.
“Saya rasa kita serahkan kepada pihak polis untuk buat siasatan dan jalankan tugas serta tanggungjawab.
“Kita akan tunggu apa yang akan dimaklum kepada kita. Saya pun tidak ada maklumat lanjut mengenainya, hanya baca di media saja,” katanya selepas menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan Pemuda Bersatu kali keempat.
Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Azmi Abu Kassim dilaporkan berkata, penganjur dan beberapa individu yang dikenal pasti menganjurkan perhimpunan solidariti itu akan dipanggil dalam tempoh terdekat bagi membantu siasatan.
Katanya, kertas siasatan kes itu akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, polis mempunyai hak menyiasat mana-mana individu yang menyertai himpunan itu.
Tetapi, katanya, kebanyakan individu yang hadir adalah rakyat mahu memberi sokongan kepada Muhyiddin.
“Jadi, saya tidak tahu mengapa mereka menjadi masalah. Kami berada di sana untuk menunjukkan sokongan kami. Adakah ia jenayah sekarang?” soalnya.
Mahu Muhyiddin kekal terajui Bersatu
Wan Saiful berkata, setakat ini, semua pimpinan Bersatu mahu Muhyiddin kekal sebagai presiden parti itu.
Malam ini, katanya, akan ada perbincangan mengenai jawatan Muhyiddin itu.
“Esok kita akan lihat usul,” katanya.