
James Chin dari University of Tasmania, berkata memandangkan kerajaan perpaduan kurang mendapat sokongan Melayu, “besar kemungkinan” pentadbiran sedia ada boleh tumbang sebelum mandat berakhir.
Bagaimanapun, beliau berkata, ia dapat diubah sekiranya Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Umno mampu “menarik sebahagian sokongan Melayu” menjelang pilihan raya negeri (PRN).
Negeri Sembilan, Kelantan, Selangor, Kedah, Terengganu, dan Pulau Pinang mesti melaksanakan PRN dalam tempoh empat bulan lagi.
Chin berkata, Pakatan Harapan diterajui Anwar dan Umno mampu menang di tiga daripada enam negeri dengan Anwar dijangka meluaskan pengaruhnya di Kelantan dan Terengganu untuk kerajaan meraih sedikit kestabilan.
Pada 6 Mac, Presiden PAS Abdul Hadi Awang, berkata pembangkang mempunyai hak merancang merampas kerajaan. Beliau berkata, dinamik dalam politik mampu mengubah pendirian dalam kalangan pemimpin Bersatu yang dikatakan ingin kekal menjadi pembangkang.
Chin berkata, tiada perkara seperti “mahu kekal menjadi pembangkang”.
“Kalau anda tidak mahu berkuasa, anda tidak sepatutnya berada dalam politik,” katanya.
Felo Majlis Profesor Negara, Jeniri Amir, tidak bersetuju dengan tanggapan kerajaan Anwar tidak stabil, sambil menyatakan kerajaan dipimpinnya mendapat sokongan parti di Malaysia Timur, termasuk Barisan Nasional (BN).
Katanya, Hadi sebenarnya sedang “bermimpi di siang hari”.
“Beliau hanya berminat mahu menjatuhkan kerajaan walaupun beliau tahu rakyat menyampah dengan kenyataan seperti itu,” katanya.
“Selain itu, Anwar juga komited menunaikan manifestonya. Jadi, saya fikir Hadi sepatutnya meletakkan kepentingan negara berbanding kepentingan sempit politiknya demi memastikan negara ini bergerak ke hadapan.”
Jeniri berkata, Malaysia akan menjadi bahan ketawa dunia jika pentadbiran Anwar jatuh, sekaligus menjadi pentadbiran keempat tumbang hanya dalam tempoh tiga tahun.
Langkah Sheraton meletakkan negara terjerumus dalam kancah politik, pada 2020, sehingga menjurus peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri, digantikan dengan Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin berkuasa selama 17 bulan selepas hilang sokongan dan digantikan dengan Ismail Sabri Yaakob. Ismail menjadi perdana menteri selama 14 bulan sebelum beliau membubarkan Parlimen bagi membuka laluan kepada PRU15.