
Ini kerana, kata Presiden MEF, Syed Hussain Syed Husman, KWSP dan Perkeso ditubuhkan untuk dua tujuan berbeza.
“KWSP ditubuhkan oleh Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991, manakala Perkeso dilindungi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan juga Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017.
“Dari segi undang-undang, untuk melaksanakan idea ini, undang-undang masing-masing perlu dipinda dan percanggahan undang-undang perlu diselesaikan.
“Selain itu, proses meminda undang-undang akan memakan banyak masa dan terdapat perkara mendesak lain yang perlu diutamakan kerajaan,” katanya dalam kenyataan.
Baru-baru ini, timbul cadangan dua entiti itu digabungkan untuk menangani keperluan penduduk Malaysia semakin tua.
Syed Hussain berkata, gabungan dua entiti itu menghasilkan sistem yang menjadikan kedua-dua fungsi saling berkait dan bertindih.
“Ia memerlukan penglibatan serius daripada setiap pemegang kepentingan kerana penggabungan mereka mungkin mempunyai kesan domino pada sektor lain.
“Apakah yang akan berlaku kepada pekerja KWSP dan Perkeso? Sesetengah pekerjaan mereka mungkin bertindih satu sama lain. Jadi, adakah pemberhentian pekerja akan berlaku kepada pekerja KWSP dan Perkeso?”
Beliau turut menekankan perbezaan dari segi jumlah pencarum dan majikan dalam dua entiti itu, di mana penggabungannya akan menghasilkan risiko kewangan serta pembayaran lebih besar.
Tambahan, katanya, caruman KWSP wajib bagi pekerja tempatan dan Perkeso pula wajib bagi pekerja tempatan serta asing.
“KWSP menumpukan tabungan dan pembiayaan persaraan, manakala Perkeso bertanggungjawab terhadap peranan luas, termasuk kemalangan dan kecederaan, kehilangan pekerjaan, pencari kerja, penempatan serta peningkatan kemahiran dan kemahiran semula.”
Justeru, katanya, penggabungan mekanisme persaraan, simpanan, pencen dan perlindungan sosial tidak menyelesaikan masalah pengurangan nilai pencen serta simpanan sepanjang tahun.
Sebaliknya, beliau berkata, lebih penting untuk kerajaan mengenal pasti mekanisme cekap dan berkesan yang mematuhi prosedur piawai untuk melindungi kepentingan ahli pelaburan.
Beliau memberi contoh pengurusan pelaburan dana yang berkesan dan menyediakan akses kepada pencarum untuk memantau secara berkala prestasi dana dilaburkan berbanding pembayaran.