Skor kredit pengguna Malaysia terus meningkat

Skor kredit pengguna Malaysia terus meningkat

Purata skor CTOS bagi pengguna Malaysia menunjukkan pertambahan positif sejak tiga tahun lepas, daripada 663 menjadi 678.

Statistik menunjukkan trend generasi lebih muda (Gen Y dan Z) menggunakan kad kredit jauh lebih kerap daripada sebelumnya, kata Ketua Monash School of Business Prof Dr Nafis Alam.  (Gambar Rawpixel)
KUALA LUMPUR:
Laporan Kredit Pengguna CTOS Malaysia bagi 2022 menunjukkan pertambahan positif dalam purata skor CTOS sejak tiga tahun lepas daripada 663 menjadi 678, menurut kenyataan agensi pelaporan kredit CTOS Data Systems Sdn Bhd (CTOS).

Skor CTOS ialah nombor tiga digit yang mewakili kelayakan kredit pengguna berdasarkan bayaran dan pengurusan kredit individu antara julat 300 hingga 850. Semakin tinggi skor, semakin tinggi peluang untuk mendapatkan kredit.

“Meskipun berdepan dengan pandemik, tahap kesihatan kewangan masih berada dalam kategori skor kredit ‘sederhana’, iaitu masih berpotensi dari sudut permohonan kredit,” menurut kenyataan itu.

“Kadar penggunaan kad kredit yang kekal pada sekitar 24% juga menunjukkan bahawa pengguna secara umumnya tidak perlu menambah pembelanjaan kredit tanpa cagaran untuk menempuh hidup sepanjang masa yang sukar tersebut.”

Menurut CTOS, laporan tersebut menggunakan sampel meliputi lebih 1.4 juta pengguna individu CTOS dan dikeluarkan dengan kerjasama Monash University Malaysia (Monash) School of Business.

“Walaupun pada amnya skor 678 bermakna kebanyakan warga Malaysia layak mendapat produk-produk kewangan bergantung kepada tahap risiko pemberi pinjaman, mereka berkemungkinan tidak akan mendapat tawaran kredit terbaik di pasaran berbanding dengan mereka yang mempunyai skor kredit di kategori ‘baik ke cemerlang’.

“Kategori skor kredit ‘baik’ bermula dari 697,” menurut kenyataan itu.

CTOS memaklumkan, berbanding dengan negara lain di peringkat global, Malaysia masih jauh di belakang jika dibandingkan dengan Amerika Syarikat yang mempunyai skor kredit purata 716.

Kadar penembusan biro kredit di Malaysia lebih tinggi berbanding negara jiran seperti Indonesia, iaitu hanya 20 hingga 25% penduduknya mempunyai profil kredit, atau Thailand, yang menurut kajian yang dijalankan baru-baru ini oleh FICO menunjukkan 67% pengguna di Thailand tidak berpuas hati dengan kredit generik (umum) yang ditawarkan oleh bank mereka, disebabkan tiada pemarkahan kredit.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CTOS Digital Erick Hamburger dalam kenyataan sama berkata, misi CTOS adalah untuk memperkasakan individu dan juga perniagaan untuk mendapat akses kepada kredit dan mengawal masa depan kewangan mereka.

Sementara itu, Ketua Monash School of Business Prof Dr Nafis Alam berkata, statistik menunjukkan bahawa pada tempoh masa sukar, kumpulan berpendapatan rendah (B40) mempunyai kadar penggunaan kad kredit 34.2%, jauh lebih tinggi daripada purata negara, iaitu 23.7%, demi menampung kewangan mereka.

“Selain kumpulan pendapatan, trend juga menunjukkan bahawa generasi lebih muda (Gen Y dan Z) menggunakan kad kredit jauh lebih kerap daripada sebelumnya, berkemungkinan disebabkan desakan sosial, yang lantas meningkatkan tabiat berbelanja,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.