Singkir wakil rakyat Bersatu undang padah, kata ahli akademik

Singkir wakil rakyat Bersatu undang padah, kata ahli akademik

PN akan menggunakan penyingkiran itu sebagai modal meraih simpati pada PRN, kata Wong Chin Huat dari Universiti Sunway.

(Dari kiri) Zolkifly Lazim, Dr Afif Bahardin, Zulkifli Ibrahim, dan Khaliq Mehtab Ishaq selepas disingkirkan daripada DUN Pulau Pinang pada Isnin.
PETALING JAYA:
Keputusan DUN Pulau Pinang mengosongkan kerusi wakil rakyat Bersatu mengundang padah bagi kerajaan, kata ahli akademik.

Wong Chin Huat dari Universiti Sunway berkata, Bersatu sebagai komponen Perikatan Nasional (PN) akan menggunakan insiden tersebut untuk meraih simpati menjelang PRN di enam negeri, termasuk Pulau Pinang.

Katanya, gabungan itu akan menggambarkan dirinya sebagai mangsa penindasan kerajaan.

“Berbanding meredakannya, keputusan mengosongkan kerusi wakil rakyat Bersatu akan membantu gelombang hijau,” katanya merujuk peralihan sokongan kepada PN.

Wong berkata, empat bekas wakil rakyat itu mungkin boleh menang kerusi masing-masing semula pada PRN Pulau Pinang, sekiranya dicalonkan lagi.

Pada Isnin, Dr Afif Bahardin mewakili Seberang Jaya, Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), Khaliq Mehtab Ishaq (Bertam), dan Zolkifly Lazim (Teluk Bahang) disingkir daripada DUN berikutan usul yang diluluskan menerusi undian suara.

Mereka menang kerusi masing-masing atas tiket Pakatan Harapan (PH) pada PRU14.

Keempat-empatnya dianggap hilang kerusi selepas Bersatu meninggalkan PH pada 2020. Usul dibentangkan dalam DUN memetik peruntukan anti-lompat terkandung dalam Perkara 14A Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

Wong berkata, kerajaan negeri kehilangan peluang menghantar mesej bahawa hanya menentang perbuatan melompat parti, bukannya mahu menekan pembangkang.

“Sikap PH Pulau Pinang yang tidak berpandangan jauh menjadikan mereka tidak dapat mempertahankan diri daripada dakwaan menekan pembangkang,” katanya.

“Sayangnya, PH dan kerajaan perpaduan hanya teliti dengan perkara kecil, tetapi bukan gambaran besar,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menyangkal kritikan PN bahawa peruntukan anti-lompat Pulau Pinang tidak konsisten dengan undang-undang anti-lompat peringkat persekutuan.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.