Ramai pemandu e-panggilan Maxim tiada EVP, kata JPJ

Ramai pemandu e-panggilan Maxim tiada EVP, kata JPJ

JPJ berkata syarikat berkenaan membenarkan kenderaan tidak berdaftar dan tiada EVP beroperasi di seluruh negara.

JPJ merampas peralatan dan dokumen seperti komputer, papan iklan, kain rentang dan gegantung ketika serbuan di pejabat Maxim. (Gambar Facebook JPJ)
PUTRAJAYA:
Pengendali perniagaan pengantaraan (EHO) yang mengendalikan aplikasi Maxim didapati melanggar Seksyen 12A(5) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 kerana membenarkan kenderaan di bawah kendaliannya beroperasi tanpa permit kenderaan e-panggilan (EVP) yang sah di sekitar Putrajaya dan Pahang.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam kenyataan memaklumkan syarikat yang beroperasi di Kuantan, Pahang itu dikesan dalam operasi Ops e-panggilan yang memfokuskan kepada pengoperasian EHO yang membenarkan kenderaan tidak berdaftar dan tiada EVP beroperasi di seluruh negara.

Menurut JPJ, hasil maklumat APAD juga mendapati hanya 402 daripada 5,000 kenderaan yang aktif menggunakan aplikasi Maxim mempunyai EVP.

JPJ memaklumkan beberapa peralatan dan dokumen syarikat seperti komputer, papan iklan, kain rentang dan gegantung disita untuk siasatan mengikut Seksyen 222 APAD 2010.

“Syarikat yang didapati membenarkan kenderaan e-panggilan beroperasi tanpa EVP boleh disabit kesalahan di bawah Seksyen 12A(9) APAD 2010, yang memperuntukkan denda tidak kurang RM1,000 dan tidak melebihi RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun.

“Syarikat yang hendak menjalankan perniagaan pengantara dan penyediaan sistem EHO kepada pemandu-pemandu kenderaan e-panggilan mesti berdaftar serta dilesenkan di bawah APAD atau Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP),” kata kenyataan itu.

JPJ memaklumkan penumpang perkhidmatan kenderaan e-panggilan juga dinasihati memastikan aplikasi tersebut adalah berdaftar serta dilesenkan melalui semakan di portal APAD/LPKP terlebih dahulu.

“Ini supaya penumpang mendapat jaminan perlindungan insurans semasa menggunakan perkhidmatan, jikalau berlaku apa-apa kemalangan jalan raya,” kata JPJ.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.