
Choo Peng Hoong, 41, yang juga bekas pengarah syarikat Choo Marketing Sdn Bhd didakwa memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram daripada akaun bank syarikat itu kepada sembilan akaun bank berbeza pada 11 hingga 24 Mac 2020.
Tertuduh didakwa melakukan transaksi berkenaan dengan memindahkan wang antara RM20,000 hingga RM405,025 di Maybank Berhad, cawangan Prai Industrial Estate.
Pendakwaan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Noor Zalizan Lazarous menawarkan jaminan RM100,000.
Bagaimanapun peguam Choo, Y Anbananthan, memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya masih bujang dan bekerja sebagai jurujual dengan pendapatan RM3,500 sebulan selain perlu menanggung ibu sudah tua.
Hakim Noor Aini Yusof kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM54,000 dengan dua penjamin untuk semua pertuduhan, serta perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 28 April ini untuk tarikh sebutan semula kes.