
Muhyiddin, yang juga presiden Bersatu, turut didakwa atas dua tuduhan pengubahan wang haram membabitkan sejumlah RM195 juta.
Ahli Parlimen Pagoh itu mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan kepadanya di Mahkamah Sesyen di sini di hadapan Hakim Azura Alwi.
Muhyiddin, 75, ialah bekas perdana menteri kedua yang didakwa atas kesalahan sedemikian, selepas Najib Razak.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu didakwa mengikut Seksyen 24 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 atas kesalahan salah guna kuasa yang dikatakan dilakukannya di Pejabat Perdana Menteri antara 8 Feb dan 20 Ogos 2021.
Bagi tuduhan pertama, dia didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan RM200,000 daripada sebuah syarikat untuk partinya.
Menurut tuduhan kedua pula, Muhyiddin didakwa menerima RM1 juta untuk partinya daripada sebuah syarikat lain.
Dia turut dituduh menerima RM19.5 juta daripada satu lagi syarikat, dan RM12 juta daripada ahli perniagaan Azman Yusoff.
Jika sabit kesalahan, Muhyiddin berdepan hukuman sehingga 20 tahun penjara, serta denda lima kali nilai suapan, atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi.
Muhyiddin juga didakwa atas dua tuduhan pengubahan wang haram, mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (Amla) 2001.
Bagi tuduhan pertama, dia didakwa menerima kira-kira RM120 juta daripada sebuah syarikat, yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bersatu.
Bagi tuduhan kedua, dia didakwa menerima RM75 juta, juga daripada syarikat sama dan dimasukkan ke dalam akaun parti.
Kedua-dua kesalahan didakwa dilakukan di cawangan CIMB KL Sentral antara 8 Feb 2020 dan 16 Julai 2021.
Jika sabit kesalahan, Muhyiddin boleh dikenakan hukuman sehingga 15 tahun penjara dan denda lima kali nilai hasil pada masa kesalahan dilakukan, atau RM5 juta, mana-mana lebih tinggi.
Muhyiddin ialah pemimpin Bersatu terbaru dan paling kanan didakwa berhubung program Jana Wibawa.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan, yang juga bekas ketua penerangan Bersatu, dan Timbalan Ketua Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad didakwa bulan lepas atas tuduhan meminta dan menerima rasuah.
Azura membenarkan ikat jamin RM2 juta untuk Muhyiddin, dengan dua penjamin, dan mengarahkan pasportnya ditahan.
Kes akan disebut pada 26 Mei ini.
Pendakwaan dikendalikan oleh Peguam Cara Negara Ahmad Terrirudin Salleh bersama Timbalan Pendakwa Raya Wan Shahruddin Wan Ladin dan Ahmad Akram Gharib, manakala Muhyiddin diwakili peguam Takiyuddin Hassan, K Kumaraendran, Rosli Dahlan, dan Chetan Jethwani.
Muhyiddin ditahan oleh SPRM petang semalam berhubung siasatan agensi itu terhadap Jana Wibawa. Dia dibenarkan keluar selepas lebih sembilan jam disoal di ibu pejabat agensi anti-rasuah itu di Putrajaya.