
Mas Ermieyati menggunakan karya ciptaan Amir itu sebagai lagu latar hantaran videonya semasa di Mahkamah Kuala Lumpur susulan pendakwaan kes Muhyiddin atas enam pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.
Secara berseloroh, Amir menyambut baik hasrat Ahli Parlimen Masjid Tanah itu yang mahu menggantikannya dengan lagu nasyid atau Siti Nurhaliza untuk video dimuat naik di media sosialnya.
Beliau turut menegaskan bahawa hasil karyanya bukan untuk agenda politik.
“Alhamdulillah, silakan. Lagi sekali saya tekankan, muzik saya bukan untuk agenda politik,” katanya di Twitter.
Amir mengulas kenyataan Mas Ermieyati mahu menggantikan lagu latar untuk hantaran videonya semasa di Mahkamah Kuala Lumpur untuk mengiringi Muhyiddin.
Bekas timbalan menteri di era pentadbiran Najib Razak, Muhyiddin dan Ismail Sabri Yaakob itu juga memohon maaf kepada Amir.
“Amir Jahari Music saya mohon maaf. Saya akan turunkan post saya dan letak lagu nasyid atau Siti Nurhaliza, artis yang tidak kisah kalau nak pakai lagu dia untuk sosial, kebajikan dan politik,” katanya menurut Astro Awani.
Beliau juga mengingatkan Amir agar lebih berhati-hati selepas ini dengan meletakkan tanda amaran kepada mana-mana pihak agar tidak menggunakan lagunya untuk tujuan politik.
Mas Ermieyati juga mendakwa dirinya memahami tindakan artis itu mungkin disebabkan beliau adalah Ahli Parlimen pembangkang.
Terdahulu, Amir membidas tindakan Mas Ermieyati menggunakan lagu ciptaannya sebagai lagu latar video solidariti terhadap Muhyiddin.