Jangan lulus pelan KL 2040 selagi proses wajar belum lengkap, kerajaan diberitahu

Jangan lulus pelan KL 2040 selagi proses wajar belum lengkap, kerajaan diberitahu

Save Kuala Lumpur berkata DBKL mesti mengadakan rundingan dengan penduduk dan menangani semua kebimbangan.

Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 bertujuan menjadi panduan hala tuju pembangunan bandar itu dalam tempoh 20 tahun akan datang.
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim digesa tidak meluluskan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (KLSP2040) sehingga semua proses wajar selesai dilaksanakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Save Kuala Lumpur (SKL) berkata, perdana menteri dan semua Ahli Parlimen Kuala Lumpur mesti melaksanakan tugas mereka dalam memastikan pelan itu tidak diwartakan terlalu awal.

“SKL tidak percaya draf KLSP2040 sedia untuk diwartakan kerana pihak berkuasa yang bertanggungjawab belum menangani input dan bantahan yang dikemukakan banyak persatuan penduduk,” kata presiden, M Alihe dalam kenyataan.

Beliau meminta DBKL mengadakan rundingan dengan penduduk dan menangani maklum balas semua pihak secara telus dan sistematik.

Katanya, jika gagal berbuat demikian, KLSP2040 berpotensi menjadi dokumen yang menyalahi undang-undang pada peringkat pewartaan.

SKL turut menyerlahkan kelemahan draf itu, termasuk tiada hala tuju dasar dan strategi membabitkan Akta Perancangan Wilayah Persekutuan 1982, selain kegagalannya menangani kekurangan kawasan lapang di sekitar Kuala Lumpur.

Pelan itu bertujuan menjadi panduan hala tuju pembangunan Kuala Lumpur dalam tempoh 20 tahun akan datang.

Pelan Struktur Kuala Lumpur yang pertama diwartakan pada 1984, dan pelan kedua diumumkan pada 2004, dikenali sebagai Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020. Pada Januari 2018, DBKL memulakan kajian untuk KLSP2040.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.