Farah Nini dilantik pesuruhjaya kanak-kanak

Farah Nini dilantik pesuruhjaya kanak-kanak

Pensyarah kanan dari UM itu mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam bidang hak asasi manusia dan undang-undang berhubung kanak-kanak.

Farah Nini merupakan pensyarah kanan di Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya sejak Disember 2007. (Gambar Facebook)
PUTRAJAYA:
Farah Nini Dusuki dilantik sebagai pesuruhjaya kanak-kanak bagi menganggotai Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 8 Mac, umum Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.

Farah Nini adalah pensyarah kanan di Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya sejak Disember 2007 dan mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam bidang hak asasi manusia dan undang-undang berhubung kanak-kanak.

Menerusi kenyataan, Azalina berkata, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, memperkenankan pelantikan Farah Nini mengikut subseksyen 5 (2) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597).

“Kerajaan berharap dengan lantikan Farah Nini sebagai pesuruhjaya kanak-kanak, pelbagai isu kanak-kanak yang berlaku di Malaysia akan diberi perhatian yang lebih mendalam bagi memastikan hak asasi serta keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak di negara kita sentiasa terpelihara,” katanya.

Farah Nini pernah berkhidmat di Ahmad Ibrahim Kulliyyah of Laws, Universiti Islam Antarabangsa selama 15 tahun.

Beliau memperoleh PhD dari Universiti Cardiff, Wales, United Kingdom pada 2002 dengan tesis yang menganalisa permasalahan sosioperundangan bagi melindungi kanak-kanak daripada penderaan dan pengabaian.

Bidang kajiannya merangkumi perundangan mengenai pengadilan jenayah, undang-undang kanak-kanak, perlindungan remaja dalam isu kesihatan reproduktif seksual serta pelaksanaan dan penguatkuasaan hak kanak-kanak di Malaysia.

Pada 18 Jan lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berkata pesuruhjaya kanak-kanak dilantik menganggotai Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dalam usaha menangani masalah penderaan dan sosial melibatkan kanak-kanak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.