Projek terminal kapal persiaran perlu libat pihak berkepentingan, kata wakil DAP

Projek terminal kapal persiaran perlu libat pihak berkepentingan, kata wakil DAP

Adun Ayer Keroh Kerk Chee Yee berkata kebimbangan terhadap alam sekitar yang dibangkitkan oleh NGO mesti ditangani.

Ahad lalu, Loke Siew Fook berkata kementeriannya sedang berbincang dengan kerajaan negeri untuk meneruskan projek MICT. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang Adun Melaka menggesa kerajaan negeri melibatkan pihak berkepentingan bagi meneruskan semula projek terminal kapal persiaran.

Adun Ayer Keroh, Kerk Chee Yee dari DAP, berkata beliau difahamkan projek Terminal Kapal Persiaran Antarabangsa Melaka (MICT) terpaksa diteruskan kerana implikasi kewangan jika ia dibatalkan.

Bagaimanapun, katanya, kebimbangan terhadap alam sekitar yang dibangkitkan oleh pelbagai aktivis dan badan bukan kerajaan (NGO) mesti ditangani.

“Kerajaan Melaka perlu mengadakan sesi pertemuan dengan pelbagai pihak berkepentingan untuk membincangkan perkara itu dan membuat sebarang pengubahsuaian yang perlu kepada projek itu,” katanya kepada FMT.

Jelasnya lagi, pihak berkepentingan termasuk nelayan dan penduduk akan terjejas dengan projek melibatkan kerja-kerja tebus guna tanah.

Minggu lalu, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata kementerian sedang berbincang dengan kerajaan Melaka mengenai keperluan meneruskan projek MICT kerana implikasinya jika ia tidak diteruskan.

MICT adalah satu daripada tiga pelabuhan di bawah projek Melaka Gateway bernilai RM42 bilion, telah dibatalkan lesen operasi pelaburannya sebelum ini.

Sementara itu, bekas exco perumahan, kerajaan tempatan dan alam sekitar negeri, Tey Kok Kiew memuji Kementerian Pengangkutan kerana memberi peluang kedua kepada projek MICT, dan berkata terminal kapal persiaran itu boleh membantu meningkatkan ekonomi dan sektor pelancongan negeri.

Tey berkata, jika keseluruhan projek Melaka Gateway itu ingin dihidupkan semula, kerajaan mesti bertemu dengan semua pihak berkepentingan yang berkaitan.

“Melaka Gateway adalah projek terkenal di dunia, jadi kejayaan atau kegagalannya bukan sahaja menjejaskan imej pemaju tetapi juga Melaka dan Malaysia,” katanya.

Kerajaan negeri sekarang memulihkan projek seluas 553 hektar pada Mac 2022 selepas dibatalkan oleh kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan sebelum ini pada 2020.

Sejak itu, beberapa gesaan supaya menghentikan projek itu telah dibuat oleh NGO, aktivis dan ahli politik, termasuk Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong.

Khoo berkata, ia akan menjejaskan komuniti nelayan di Bandar Hilir dan Duyong serta warisan budaya Penempatan Portugis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.